9 jemaah haji Malaysia cedera ringan di Makkah

Mujahid menasihati kaum keluarga jemaah haji tidak bimbang kerana segala langkah perlu diambil oleh pihak TH.

MAKKAH: Seramai 9 jemaah Malaysia iaitu 3 lelaki dan 6 wanita mengalami cedera ringan dalam kemalangan membabitkan 2 buah bas yang membawa jemaah haji Malaysia ke Makkah dari Mina.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 8.40 pagi waktu tempatan semasa bas jemaah Malaysia dalam perjalanan pulang ke Makkah selepas melakukan nafar awwal.

“Kira-kira jam 8.40 pagi, bilik gerakan Tabung Haji (TH) menerima laporan mengenai kemalangan tersebut dan telah menghantar pasukan kecemasan terdiri daripada petugas perubatan dan kebajikan, bersama-sama pihak muassasah Asia Tenggara meninjau dan memberi pertolongan.

“Keadaan jalan ketika itu sangat sesak kerana kebanyakan jemaah haji dari seluruh dunia melakukan nafar awwal dan pulang ke Makkah pada hari yang sama,” katanya kepada media selepas melawat jemaah haji yang cedera di sini, semalam.

Sejurus memberikan bantuan kepada jemaah haji tersebut, Mujahid berkata pihak muassasah menghantar 2 buah bas gantian untuk jemaah haji Malaysia meneruskan perjalanan pulang ke hotel penginapan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak muassasah Asia Tenggara yang memberikan kerjasama tinggi dalam memastikan jemaah kita selamat sampai ke pusat penginapan mereka,” katanya.

Sembilan jemaah yang tercedera telah dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang ke hotel mereka.

“Pasukan perubatan TH turut membuat saringan kesihatan sekali lagi terhadap jemaah lain yang terselamat untuk memeriksa sekiranya ada antara mereka mengalami trauma berikutan kemalangan ini,” katanya.

Mujahid menasihati kaum keluarga jemaah haji di tanah air untuk tidak merasa bimbang dengan kemalangan tersebut kerana segala langkah yang sepatutnya telah diambil oleh pihak TH di Tanah Suci.

“Ia hanyalah satu kemalangan yang tidak melibatkan kecederaan serius dan kesemua mangsa kemalangan dibenarkan pulang ke pusat penginapan mereka oleh pihak hospital dan dari apa yang saya lihat (setelah melawat mangsa), mereka dalam proses pemulihan,” katanya.