Air France gantung penerbangan ke Iran kerana sekatan AS

PARIS: Syarikat penerbangan nasional Perancis, Air France, menggantung perkhidmatan ke Tehran pada September kerana sekatan Amerika Syarikat akan melemahkan prestasi laluan itu, kata syarikat itu semalam.

Kumpulan syarikat penerbangan Perancis-Belanda, Air France KLM berkata ia akan menghentikan penerbangan ke Iran pada 18 September kerana keuntungan yang rendah, lapor agensi berita Xinhua.

Syarikat itu itu mengurangkan perkhidmatan daripada 4 penerbangan kepada 1 penerbangan sejak 4 Ogos lepas kerana permintaan yang rendah.

Dua syarikat penerbangan Eropah yang lain, British Airways dan KLM, juga mengambil keputusan untuk menutup laluan ke Tehran kerana keuntungan yang semakin menurun.

Amerika Syarikat pada Mei mengumumkan pengunduran daripada perjanjian nuklear 2015 dan ia akan mengenakan sekatan ke atas Tehran dan mereka yang berdagang dengannya.

Di tengah-tengah keputusan AS itu, firma-firma Eropah yang menjalankan perniagaan di Iran mempunyai masa selama 6 bulan untuk menggulung pelaburan mereka.