Batal projek disokong China gugat sektor pembinaan, kata pakar ekonomi

ECRL merupakan antara projek mega yang dibatalkan oleh kerajaan PH. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menyokong keputusan Putrajaya membatalkan beberapa projek yang disokong China tetapi mengingatkan langkah itu memberi kesan jangka panjang ke atas sektor pembinaan.

Dr Yeah Kim Yeng, pensyarah di Sekolah Perniagaan Universiti Sunway berkata, kesan itu akan dirasai untuk beberapa lama memandangkan saiz projek yang besar.

“Pembatalan itu akan memberi kesan segera ke atas pelaburan modal dan aktiviti lapangan dalam industri pembinaan,” katanya kepada FMT.

“Sektor pembinaan terkesan kerana pengurangan permintaan bagi bahan pembinaan dan khidmat sokongan.”

Bagaimanapun beliau berkata, kurangan ini boleh diimbangi oleh aktiviti kejuruteraan awam dan pembinaan sedia ada dalam sekor lain, termasuk infrastruktur, uiliti, hartanah dan bangunan industri.

Beliau berkata, walaupun pembatalan projek berkenaan akan menghilangkan satu atau 2% daripada kadar pertumbuhan pembinaan, namun sektor itu secara umumnya akan terus berkembang.

Beliau merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini tentang pembatalan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP).

Dr Mahathir berkata projek tersebut dibatalkan sehingga Malaysia mampu meneruskannya semula, dan menambah projek yang merugikan negara tidak akan diluluskan.

Yeah berkata, Putrajaya membuat keputusan tepat membatalkan projek berkaitan yang boleh menyebabkan hutang negara bertambah akibat tambahan kos yang sering berlaku dalam projek mega.

“Keutamaan sekarang ialah mengembalikan keutuhan kewangan negara, mengukuhkan kewangan awam dan mngurangkan beban bayaran hutang.

“Membatalkan projek ini memastikan paras bayaran hutang kita terkawal, sekali gus memperkuat mutu kredit kerajaan,” katanya.