Cukup hanya VAT 69, UTK, kata Musa Hassan

Tan Sri Musa Hassan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan menyokong langkah membubarkan 3 unit khas polis kerana pasukan biasa memadai untuk menyerbu dan bertindak terhadap jenayah terancang.

Beliau berkata polis juga mempunyai pasukan khas 69 Komando (VAT69) dan Unit Tindakan Khas (UTK) untuk menangani penjenayah bersenjata.

“Sekiranya penjenayah mempunyai senjata, baru kita gunakan pasukan khas. Kalau tidak pegawai biasa boleh membuat serbuan atau tindakan terhadap penjenayah,” katanya.

Musa juga menggesa kerajaan meningkatkan kemampuan risikan, dan penyelarasan antara jabatan bagi menangani masalah sumber manusia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman semalam berkata Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dibubarkan kerana wujud pertindihan tugas.

“Akhirnya orang yang melakukan jenayah seperti membuka judi haram ini berleluasa,” kata Azis.

Langkah ini sebahagian daripada langkah merombak dan menyusun semula polis selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Beberapa pasukan siasatan khas untuk menangani jenayah mengikut bidang khusus juga akan dibubarkan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembubaran dan penyusunan semula polis berikutan aduan orang ramai.

STING, STAGG dan Stafoc ditubuhkan pada 2014 di era Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan STAGG terutamanya ditubuhkan bagi mencegah kebocoran maklumat operasi di peringkat daerah dan negeri.

Sebelum ini STAGG terlibat dalam operasi menangkap ketua-ketua kongsi gelap, antaranya mempunyai kaitan politik, manakala STING menyaksikan rampasan dadah meningkat hampir 2 kali ganda.

Khalid enggan mengulas mengenai pembubaran 3 unit khas itu.