HSR: Azmin berbincang lanjut dengan Singapura

Azmin dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan di Kuala Lumpur semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Menteri Hal-ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam meneruskan perbincangan dengan Singapura berhubung projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang nasibnya masih terumbang-ambing selepas Putrajaya memutuskan untuk menangguhkannya kerana kebimbangan mengenai kos yang tinggi.

Azmin yang bertemu menteri pengangkutan republik itu, Khaw Boon Wan berhubung projek berkenaan awal bulan ini berkata, mereka berdua “mengadakan perbincangan mendalam dan terperinci” mengenai perkara itu.

“Kami optimis akan mencapai penyelsaian menang-menang segera,” katanya di laman Facebook milik beliau yang diiringi sekeping gambar mereka bersalaman.

Wujud keraguan sama ada projek kereta api 350 km itu, yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, akan diteruskan selepas Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan berikutan kemenangan pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Kebimbangan utama ialah mengenai kos projek, yang menurut PH menyebabkan kerajaan baru itu mewarisi hutang sebanyak RM1 trilion.

Azmin sebelum ini menganggarkan projek HSR akan menelan belanja RM110 bilion, jauh mengatasi anggaran asal kerajaan BN antara RM54-74 bilion.

Jika Malaysia membatalkan projek kereta api itu yang dipersetujuinya pada 13 Disember 2016, maka ia perlu membayar penalti. Singapura dilaporkan telah membelanjakan sebanyak S$250 juta (RM743 juta) untuk projek tersebut.

Putrajaya pada mulanya mengumumkan projek HSR dibatalkan, tetapi kemudian memberitahu ia akan ditangguhkan.

Projek HSR dijadualkan siapa pada 2026.