Jemaah haji Malaysia pulang ke Makkah selepas melontar jamrah

Kepulangan jemaah haji ke Makkah esok menandakan operasi masyair TH bagi musim haji kali ini berakhir. (Gambar Bernama)

MAKKAH: Hampir kesemua jemaah haji Malaysia selamat tiba di hotel penginapan masing-masing di sini selepas menunaikan ibadat melontar jamrah bagi ketiga-tiga hari tasyrik berakhir 13 Zulhijjah yang merupakan salah satu daripada syarat wajib ibadah haji.

Setibanya di Makkah, para jemaah akan melaksanakan satu lagi rukun ibadah haji iaitu tawaf dan saie haji untuk mendapat tahallul thani bagi melepaskan diri dari baki 3 larangan ihram, selepas mendapat tahallul awwal yang membebaskan mereka dariada 10 larangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pada tahun ini lebih dari separuh jemaah haji mengambil nafar awwal dengan hanya melontar jamrah pada 2 dari 3 hari tasyrik dan bergerak pulang ke Makkah pada Khamis.

“Seramai 16,200 orang dari jemaah kita melakukan nafar awwal dan selebihnya melakukan nafar thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik) dan Tabung Haji mula mengambil jemaah kita dari Mina pada jam 7 pagi,” beliau memberitahu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata kumpulan jemaah yang melakukan nafar awwal ini terdiri daripada kumpulan yang pulang lebih awal berbanding jemaah Malaysia yang melakukan nafar thani.

“Kepulangan jemaah haji kita ke Makkah esok menandakan operasi masyair TH bagi musim haji kali ini berakhir dan kesemua jemaah di jangka tiba di sini menjelang tengah hari (waktu tempatan),” katanya.