Lelaki Thailand lepas 9 tembakan, berang 12 guni ketum dirampas

Sepasukan pegawai dan anggota risik PGA merampas 12 guni daun ketum di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Padang Besar pada 11 pagi Rabu lalu, 2 suspek berkenaan melarikan diri ke negara jiran. (Gambar Bernama)

KANGAR: Seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai berang kerana gagal berunding untuk mendapatkan semula rampasan daun ketum bertindak melepaskan 9 das tembakan ke arah Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Padang Besar dekat sini, 3 hari lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, akibat kejadian pada 1.40 tengah hari Rabu itu, seorang anggota PGA cedera ringan selepas terkena serpihan tingkap yang pecah ditembak suspek.

“Sebelum kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota risik PGA merampas 12 guni daun ketum di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar pada 11 pagi, namun 2 suspek berkenaan melarikan diri ke negara jiran.

“Kemudian datang seorang lelaki Thailand mahu berunding dan meminta barang tersebut dikembalikan kepada rakannya (2 suspek yang melarikan diri), tetapi pegawai dan anggota PGA enggan berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya pergi ke Pos PGA Padang Besar dan memanggil seorang anggota sebelum bertindak mengacukan 2 pucuk pistol ke arah penguat kuasa undang-undang berkenaan.

“Anggota tersebut melarikan diri dan mendapatkan perlindungan sambil berteriak meminta rakan-rakannya yang lain berbuat demikian, sebelum suspek melepaskan 9 tembakan.”

Azisman berkata, usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan suspek dengan bantuan polis Thailand.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.