LHDN gagal pulang RM16 bilion: Polis akan soal siasat Irwan Serigar

Irwan Serigar Abdullah ialah pengerusi LHDN ketika itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis akan memanggil bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah untuk membantu siasatan berhubung kegagalan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membayar balik lebih RM16 bilion kepada pembayar cukai.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

“Ya, siasatan ke atas perkara itu sudah bermula. Beliau akan dipanggil tidak lama lagi.

“Biar kami rekod keterangan orang lain dahulu,” katanya kepada FMT sambil menambah individu yang ada kaitan akan dipanggil.

FMT cuba menghubungi Irwan, tetapi setakat ini tiada respons daripadanya.

Rabu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan LHDN tidak memulangkan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion kepada 1,653,786 syarikat, individu, persatuan serta yayasan sehingga 31 Mei lalu.

Katanya, ia disebabkan kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Beliau berkata, pembayaran balik itu hanya boleh dilakukan menggunakan wang TBBC, tetapi rekod Jabatan Akauntan Negara menunjukkan tabung itu hanya mempunyai RM1.486 bilion setakat 31 Mei lalu.

Menurut laporan New Straits Times, LHDN disiasat atas dakwaan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, serta juga boleh dikenakan denda.

Semalam, bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberitahu FMT yang LHDN perlu menjelaskan kegagalan membayar balik RM16 bilion cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah terlebih bayar itu sejak 6 tahun lalu.

Johari berkata, Irwan ialah pengerusi LHDN ketika itu dan isu itu berkaitan operasi antara Jabatan Perbendaharaan dan pasukan pengurusan LHDN.

Katanya, kerajaan mengamalkan perakaunan tunai, bukan perakaunan tertunggak, yang bermakna sebarang pembayaran balik atau tuntutan akan dianggap tuntutan tahun semasa.

“Saya terkejut syarikat itu tidak membuat tuntutan untuk pembayaran balik walaupun selepas 6 tahun. LHDN perlu menjelaskannya,” kata Johari.