Musa Aman angkat sumpah hari ini?

Speaker DUN Sabah berkata, jika Musa Aman tidak datang hari ini, mereka boleh menjadualkan semula upacara mengangkat sumpah itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dijangka mengangkat sumpah sebagai Adun Sungai Sibuga petang ini.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali berkata, Musa melalui pembantunya memaklumkan pejabatnya beliau mahu mengangkat sumpah hari ini.

“Mereka berjanji akan hadir di pejabat hari ini. Jadi, kami sedang membuat persediaan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada pengesahan sehingga kini sama ada upacara itu akan diadakan hari ini.

“Jika beliau datang, kami akan teruskan dengan upacara itu.

“Kami tidak tahu sama ada ia akan diadakan hari ini, tetapi mereka berjanji akan datang hari ini. Jika bukan hari ini, kami boleh menjadualkannya semula.”

Musa dilapor meninggalkan Malaysia pada 16 Mei lalu untuk menjalani rawatan di London dan beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada 21 Ogos lalu.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan Musa ditahan pada 10 pagi Khamis di Kuala Lumpur, tetapi majistret menolak permohonan reman oleh polis.

Musa dikehendaki polis untuk membantu siasatan susulan laporan dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 14 Mei lalu berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri.

Difahamkan, Musa kini berada di sebuah hospital swasta di Lembah Klang untuk rawatan.

Selasa lalu, Abas dilaporkan berkata, Musa mempunyai masa hingga 11 September ini untuk mengangkat sumpah sebagai Adun atau beliau akan kehilangan kerusi DUN Sungai Sibuga yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lalu.