Musa tak dapat hadir angkat sumpah Adun hari ini

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Adun Sungai Sibuga hari ini gagal hadir ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Timbalan Speaker Datuk Ahmad Abdul Rahman berkata Musa sepatutnya mengangkat sumpah pada 2.30 petang tadi.

“Beberapa hari lepas kita telah menerima surat daripada pihak Musa mengenai perkara itu (angkat sumpah), namun kita telah dimaklumkan bahawa Musa tidak dapat hadir pada hari ini.

“Bagaimanapun kita tidak mengetahui apa sebab beliau tidak dapat hadir,” katanya kepada pemberita di perkarangan DUN Sabah di sini.

Ahmad berkata walaupun gagal hadir untuk mengangkat sumpah pada hari ini, Musa masih mempunyai tempoh untuk berbuat demikian sehingga 11 September ini.

“Beliau mempunyai hak untuk mengangkat sumpah sebagai Adun. Oleh itu beliau boleh mengangkat sumpah bila-bila masa sehingga tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Musa tidak hadir pada majlis angkat sumpah ADUN yang diadakan sebelum ini kerana menjalani rawatan perubatan di United Kingdom pulang ke Malaysia 2 hari lepas.

Berdasarkan perlembagaan negeri, Musa mempunyai tempoh sehingga 11 September untuk mengangkat sumpah Adun, iaitu 3 bulan selepas persidangan pertama DUN 11 Jun lalu.

Jika gagal mengangkat sumpah dalam tempoh itu, kerusi DUN Sungai Sibuga yang dipertahankan Musa pada pilihan raya umum boleh diisytiharkan kosong.