PAS usah dabik dada, kami turut perjuangkan Islam, kata calon PH

Halimey Abu Bakar berjanji akan memastikan DUN Seri Setia mendapat peruntukan khas bagi penganjuran program keagamaan dan menubuhkan ‘rumah mengaji’ di setiap blok sekitar DUN Seri Setia, jika beliau menang pada 8 September ini.

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, PAS bukan satu-satunya parti yang memperjuangkan Islam di negara ini.

Katanya, PH turut berbuat demikian melalui pelbagai inisiatif di bawah kerajaan Selangor pimpinan gabungan itu sejajar konsep fastabiqul khairat – berlumba-lumba membuat kebaikan.

“Misalnya, sejak 2015 sehingga kini, kerajaan PH Selangor telah membina 25 masjid baru di seluruh Selangor. Malah, sebanyak RM208.8 juta juga diperuntukkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi kerja pembinaan dan penyelenggaraan masjid di negeri ini.

“Selain itu, sebanyak RM16 juta diperuntukkan bagi 3 maahad tahfiz serta RM52 juta bagi pembinaan 2 Maahad Tahfiz Integrasi Sains (MITS) di Pandan dan Bagan Lalang.

“Begitu juga Skim Peduli Siswa Timur Tengah yang menyediakan dana sebanyak RM3.5 juta kepada 998 pelajar yang layak,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PH, hari ini.

Justeru, Halimey mengingatkan lawannya tidak mendabik dada mengenai perjuangan PAS untuk meraih sokongan orang Melayu dan Islam.

“Suka juga saya mengingatkan mana-mana pihak agar tidak sewenang-wenangnya mendabik dada hanya mereka yang berhak bercakap mengenai Islam, termasuk sepanjang kempen PRK ini berlangsung.”

Beliau juga berjanji mendapat peruntukan khas bagi penganjuran program keagamaan dan menubuhkan “rumah mengaji” di setiap blok sekitar DUN Seri Setia, jika beliau menang bulan depan.

Beliau juga mahu memastikan program fardu ain dan kuliah diteruskan sejajar pelbagai program kemasyarakatan lain, khusus untuk umat Islam.

“Program-program ini adalah wadah Islamik paling praktikal disasarkan kepada golongan belia untuk pemantapan diri dan pembentukan kerohanian yang murni.”

Halimey akan menentang calon PAS, Dr Halimah Ali pada 8 September ini.

Kerusi Seri Setia kosong susulan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin kerana kanser kolon pada 2 Ogos lalu.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shaharuddin memenangi kerusi itu dengan 29,250 undi, selepas mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk Yusoff HM Haniff yang memperolehi 9,878 undi, calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, Dr S Vignes (217).