Pemilik Equanimity selar cadangan lelong kapal layar mewah

PETALING JAYA: Pemilik kapal layar mewah Equanimity hari ini menyelar laporan bahawa kumpulan 1MBD bercadang menjual vesel berharga RM1 bilion itu dan menyifatkannya sebagai “pelanggaran proses undang-undang dan komiti perundangan antarbangsa yang menakjubkan”.

Equanimity (Cayman) Ltd berkata ia tidak menerima notis undang-undang yang sah tentang apa-apa permohonan berhubung penjualan atau perbicaraan mahkamah mengenai perkara itu.

Ia menambah penjualan kapal layar mewah itu akan menimbulkan persoalan tentang pemilikan sebenar kapal itu oleh mana-mana bakal pembeli.

“Langkah salah ini menimbulkan keraguan ke atas pemilikan Equanimity yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan di beberapa mahkamah di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilaporkan semalam 1MDB Global Investments Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB dan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menjual kapal layar mewah itu kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Plaintif juga memfailkan permohonan perisytiharan bahawa mereka merupakan pemilik kapal layar itu kerana ia dibeli dengan menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Mereka juga memohon perintah untuk menjual kapal layar tersebut dan hasil jualannya diserahkan kepada pemiliknya yang sah selepas mahkamah membuat perisytiharan.

Equanimity kini ditahan di Pelabuhan Klang sejak ketibaannya ke perairan Malaysia pada 7 Ogos lepas.

Polis Indonesia menyita kapal layar tersebut atas permintaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan menyerahkannya kepada Malaysia berikutan lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu.

Equanimity (Cayman) Ltd berkata, tindakan Malaysia merampas kapal layar itu dan cadangan “melelongnya” akan menjatuhkan harga jualan potensinya dengan teruk.

Ia berkata, Equanimity kini beroperasi “24 jam sehari dan 7 hari seminggu” menggunakan penjana kuasa yang bukan sahaja tidak mapan tetapi merosakkannya.

“Tambahan lagi Malaysia melabuhkan kapal itu dalam persekitaran berbahaya dengan toksin daripada pencemaran air dan asap berhampiran yang juga akan merosakkannya.

“Oleh sebab Malaysia kelihatan tidak mempunyai atau tidak mahu membelanjakan wang yang perlu untuk menyelenggara kapal layar itu bagi membolehkannya dijual dengan harga terbaik, Malaysia sebaliknya mencadangkan jualan “lelong” yang akan menyaksikan kapal dijual pada harga rendah berbanding nilai sebenarnya,” katanya.

Ia juga merujuk kepada prosiding semasa di mahkamah AS berhubung isu pemilikan dan jagaan kapal layar itu, dan mendakwa tuntutan aktif telah difailkan di hadapan hakim AS dalam masa 24 jam baru lalu.

“Tindakan unilateral Malaysia sewaktu terdapatnya permohonan difailkan di mahkamah AS adalah bertentangan dengan amalan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut, pihak berkuasa AS masih belum membuktikan kesnya terhadap Equanimity, bahawa “ia hanya memfailkan dakwaan tanpa bukti dalam prosiding mahkamah” dan selepas itu kes ditangguhkan berikutan bantahan pihak yang menuntut.

“Akibatnya tidak ada pihak yang dapat memberi respons berkesan terhadap dakwaan yang dibuat, dan pihak berkuasa AS juga tidak dituntut membuktikannya,” katanya.