Pemimpin Amanah berang dilarang ke Sarawak

Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, Malaysia baru menuntut pendekatan politik baru, bukan sekadar ‘salin kulit’. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah hari ini mempertikaikan langkah pihak berkuasa Sarawak yang masih menghalangnya masuk ke negeri itu, lebih 2 bulan selepas gabungan 4 parti yang memerintah Sarawak mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN).

Shazni Munir Mohd Ithnin yang merupakan naib ketua Pemuda Amanah berkata, beliau ke Sarawak atas urusan rasmi parti, tetapi ditahan di Lapangan Terbang Sibu hari ini.

“Halangan ini adalah warisan jijik zaman BN yang menyalahgunakan kuasa untuk menghalang individu-individu tertentu masuk ke Sarawak atas alasan yang jelas bermotifkan politik.

“Jika kerajaan Sarawak yang kononnya telah keluar BN masih mengekalkan polisi dan pendirian politik yang sama, adalah lebih baik mereka masuk semula ke dalam BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan Jabatan Imigresen yang dilihat FMT, Shazni ditahan pada jam 8.50 pagi tadi di Lapangan Terbang Sibu.

Shazni berkata, beliau kini dalam penerbangan pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Shazni pernah ditahan di Lapangan Terbang Sibu pada 25 April 2016 dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy pula ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada hari sama.

Shazni yang juga pengarah mobilisasi Pemuda Pakatan Harapan berkata, Malaysia baru menuntut pendekatan politik baru, bukan sekadar “salin kulit”.

“Hipokrasi sebegini perlu ditolak dan rakyat Sarawak mempunyai masa untuk berbuat demikian dalam pilihan raya negeri akan datang.”