Pemimpin kami tidak subversif, Amanah Sarawak beritahu kerajaan

Pemuda Amanah Sarawak berkata sekatan ke atas pemimpinnya tidak munasabah. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Pemuda Amanah Sarawak menggesa kerajaan negeri menyemak semula penggunaan undang-undang imigresen dan membersihkan senarai nama yang tidak berkenaan, selepas sekatan ke atas naib ketua Pemuda parti Islam itu.

Ketua Pemuda Fadillah Sabali berkata kerajaan negeri mengenakan kuasanya ke atas rakyat yang tidak subversif.

“Ini adalah sesuatu yang tidak munasabah dan tidak membantu proses demokrasi berparlimen untuk berjalan dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kuasa tersebut bertujuan menghalang unsur subversif atau demi menjaga kesejahteraan rakyat negeri itu, tetapi Shazni Munir Mohd Ithnin ke Sarawak untuk bertemu ahli dan melibatkan diri dalam aktiviti Amanah, sebuah parti yang berdaftar secara sah.

“Tindakan ini adalah sesuatu yang tidak bersifat telus dan ini menunjukkan kerajaan Sarawak tidak berjiwa besar,” katanya, menggesa kerajaan memberi jaminan ia tidak akan disalahgunakan pada masa depan.

Shazni ditahan di Lapangan Terbang Sibu hari ini dan kemudian membidas kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa untuk menghalang individu tertentu atas alasan yang “jelas bermotifkan politik”.

“Jika kerajaan Sarawak yang kononnya telah keluar BN masih mengekalkan polisi dan pendirian politik yang sama, adalah lebih baik mereka masuk semula ke dalam BN,” kata pemimpin Amanah itu.

Menteri Datuk Abdul Karim Hamzah mengingatkan Amanah bahawa kerajaan negeri berhak menyekat orang tidak diingini, dan keputusan parti pemerintah keluar Barisan Nasional tidak mempengaruhi tapisan imigresen.

“Shazni nampaknya menyamakan sekatan imigresen sebagai warisan Barisan Nasional, dan oleh itu tidak patut ada sekatan kerana parti-parti di Sarawak sudah berpisah dengan BN. Beliau salah jika beranggapan sedemikian,” katanya.