Peranti radioaktif hilang, Singapura tingkat pemeriksaan

Peranti yang mengeluarkan radiasi beta dan gamma boleh disalah guna, termasuk untuk membuat bom oleh pengganas.

SINGAPURA: Singapura meningkatkan pemeriksaan di pusat pemeriksaannya susulan laporan kehilangan peranti radiografi mengandungi isotop radioaktif Iridium 192 di Malaysia.

Menurut Channel NewsAsia, pihak berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA) sedang memantau perkembangan kes.

Menurut ICA kesemua pusat pemeriksaannya mempunyai keupayaan mengesan ancaman radioaktif.

“Sebagai contoh, pegawai ICA menggunakan peralatan seperti pengimbas dan alat pengesan untuk mengimbas paras radiasi pada kargo, kenderaan dan pelawat yang memasuki Singapura,” kata jurucakap ICA yang dipetik oleh organisasi media itu.

Menurut media, siasatan rapi sedang dijalankan di Malaysia bagi mengesan peranti seberat 23 kilogram dan bernilai kira-kira RM75,000 kepunyaan sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor.

Peranti berkenaan dilaporkan hilang antara 2 dan 3 pagi pada 10 Ogos lalu semasa dibawa balik dari Seremban ke kilang di Shah Alam oleh 2 juruteknik.

Peranti itu yang mengeluarkan radiasi beta dan gamma boleh disalah guna, termasuk untuk membuat bom oleh pengganas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harin dilaporkan berkata 2 kakitangan syarikat itu yang ditahan reman sehari susulan insiden dibebaskan selepas kenyataan kedua-dua rakyat tempatan tersebut direkodkan.