Perbincangan tangguh HSR sedang berjalan, kata Singapura

SINGAPURA: Perbincangan antara Singapura dan Malaysia berhubung permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sedang berjalan, kata Kementerian Pengangkutan Singapura.

“Perjanjian dua hala HSR masih berkuat kuasa, melainkan Singapura dan Malaysia saling bersetuju untuk mengubahnya,” kata jurucakap kementerian menerusi emel kepada Bernama.

Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertemu pada 23 Ogos di Kuala Lumpur untuk menyambung perbincangan yang diadakan pada 11 Ogos.

Terdahulu The Straits Times melaporkan kedua-dua negara bersetuju untuk menangguhkan HSR selepas menteri-menteri bertanggungjawab bertemu pada 23 Ogos, dengan pegawai kanan kini ditugaskan untuk merundingkan syarat penangguhan tersebut.

Memetik sumber, laporan itu menyatakan kedua-dua negara sedang mengkaji selama mana projek itu akan ditangguhkan sebelum mereka kembali untuk berbincang semula.