Polis serah kertas siasatan Musa kepada timbalan pendakwa raya Isnin ini

Fuzi Harun berkata, Musa Aman dibebaskan semalam selepas polis gagal mendapat perintah reman daripada mahkamah.

KUALA LUMPUR: Polis dijangka menyerahkan kertas siasatan Tan Sri Musa Aman didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin kepada pejabat timbalan pendakwa raya, Isnin ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya menahan Musa semalam bagi membantu siasatan itu, namun dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

“Beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Fuzi memberi jaminan siasatan ke atas Musa dijalankan secara telus dan adil mengikut undang-undang.

Adun Sungai Sibuga yang sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di sekitar Lembah Klang, ditahan pada 10 pagi semalam.

Bagaimanapun, majistret dilaporkan menolak permohonan polis mereman Musa mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Musa yang meninggalkan negara ini pada 16 Mei lalu untuk mendapatkan rawatan di London, pulang ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang petang Selasa lalu, dari Seletar, Singapura.

Bekas ketua menteri Sabah itu dikehendaki polis berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Juhar dalam majlis angkat sumpah 10 Mei lalu.

Musa turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan menyogok Adun.