PRK Seri Setia: Dr Halimah tolak dakwaan penyokong PAS sokong Halimey

Dr Halimah berkata PRK merupakan peluang terbaik untuk pengundi mengingatkan gabungan PH mengenai janji pilihan raya dan obligasinya.

PETALING JAYA: Calon PAS bagi pilihan raya kecil Seri Setia, Dr Halimah Ali, menyangkal dakwaan calon lawannya dari Pakatan Harapan (PH) Halimey Abu Bakar bahawa beliau mendapat sokongan daripada penyokong senyap PAS di kawasan itu.

Dr Halimah berkata ini mungkin berlaku sebelum pilihan raya umum ke-14 tetapi oleh kerana PH sekarang menjadi kerajaan persekutuan dan kebanyakan kerajaan negeri, ia tidak lagi berlaku.

“Beliau (Halimey) tidak faham bahawa selepas PH mengamblih kuasa kuasa di peringkat negeri dan persekutuan, apa yang dikatakan pengundi senyap juga telah bangkit,” kata beliau kepada pemberita selepas mengagihkan daging korban kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang semalam.

Beliau merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Halimey semalam bahawa beliau yakin memperoleh sokongan daripada sesetengah penyokong senyap PAS di kawasan Seri Setia.

Dr Halimah berkata pilihan raya kecil merupakan peluang terbaik bagi pengundi untuk mengingatkan gabungan PH mengenai janji pilihan raya dan obligasinya.

Pilihan raya kecil Seri Setia pada 8 Sept diadakan kematian penyandang kerusi kawasan itu Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos kerana kanser usus.

PRK itu diadakan serentak dengan PRK di Balakong. Selangor menyaksikan 3 PRK sejak PRU14 dengan yang pertama di Sungai Kandis diadakan pada 4 Ogos.

PRK Seri Setia merupakan pertandingan satu lawan satu antara Halimey, bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Dr Halimah, bekas Exco kerajaan negeri Selangor dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi Selat Klang.