Ringgit terus rendah berbanding dolar AS

Pelabur mengikuti rapat perkembangan itu kerana ada kemungkinan Fed menaikkan kadar faedah pada mesyuarat bulan depan selepas 2 kenaikan berterusan pada bulan Mac dan Jun tahun ini.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS hari ini susulan kelemahan permintaan selain faktor pengukuhan dolar ketika pasaran menunggu ulasan mengenai hala tuju kadar faedah oleh Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Jerome Powell, lewat hari ini.

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada paras 4.1080/1110 berbanding dolar AS daripada 4.1030/1070 sewaktu ditutup semalam.

Seorang peniaga berkata pelabur akan memberi tumpuan terhadap ucapan Powell mengenai kemungkinan kadar faedah akan dinaikkan pada September ini.

“Pelabur sememangnya mengikuti rapat perkembangan itu kerana ada kemungkinan Fed akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat bulan depan selepas 2 kenaikan berterusan pada bulan Mac dan Jun tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9907/9935 daripada 2.9942/9974 pada Khamis dan tinggi berbanding yen kepada 3.6860/6890 daripada 3.6994/7037.

Ringgit juga meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2603/2658 daripada 5.2765/2824 dan tinggi sedikit berbanding euro pada 4.7423/7466 daripada 4.743/7489.