Selepas batal insinerator, Zuraida fokus didik rakyat buang sampah

Zuraida berkata, beliau juga akan meneliti butiran berhubung dakwaan tanah rizab Melayu merosot disebabkan amalan rasuah di peringkat kerajaan negeri.

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya akan memfokus kepada cara pembuangan sampah dengan betul bagi menangani isu pengurusan sampah di negeri Selangor.

Beliau berkata, masih terdapat lebih kurang 60% rakyat negara ini yang belum tahu cara betul membuang sampah ke dalam tong sampah.

Katanya, didikan dan kesedaran penduduk amat penting untuk mengubah mentaliti dan budaya tersebut.

“Saya mahu hidupkan kembali kempen Keep Malaysia Clean dengan mengamalkan budaya membuang sampah ke dalam tong sampah.

“Dalam perancangan dasar perumahan baru, kita akan masukkan usul bagaimana nak uruskan bangunan, terutamanya sampah dalam kawasan rumah mampu milik,” katanya selepas ditemui di majlis jamuan sempena Hari Raya Aidiladha bagi kawasan Parlimen Ampang malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sangat memahami bahawa mentaliti dan kesedaran masyarakat penting bagi memastikan setiap rancangan kerajaan ke arah amalan mesra alam berjalan dengan baik dan berjaya.

“Tong sampah cukup ke tak cukup, yang penting, masyarakat tahu, ada sahaja sampah, kena buang dalam tong sampah, budaya lama perlu dihapuskan,” katanya.

Terdahulu beliau mengesahkan, pembinaan insinerator di Kepong dihentikan bagi memberi laluan kepada kerajaan mencari penyelesaian lebih mesra alam dalam menangani isu pengurusan sampah di negeri Selangor.

Belia berkata, pihaknya juga akan meneliti perangkaan dan butiran berhubung dakwaan tanah rizab Melayu yang semakin merosot disebabkan rasuah di peringkat kerajaan negeri.

“Sewaktu jadi pembangkang dahulu pun kami sering bangkitkan isu tanah rizab Melayu, tetapi kami tidak tahu butiran lengkap mengenainya.

“Disebabkan kementerian perumahan juga ada kaitan dengan hal tanah, saya akan cari ruang untuk meneliti semula perkembangan dan maklumat mengenainya,” katanya.