Singapura tahan 2 kereta sewa Malaysia operasi tanpa lesen

Sekurang-kurangnya 5 syarikat berpangkalan di Malaysia dilapor menawarkan perkhidmatan teksi atau kereta sewa tanpa lesen di Singapura. (Gambar AFP)

SINGAPURA: Semua pemilik kereta persendirian, termasuk warganegara Malaysia diminta mematuhi peraturan pihak berkuasa Singapura yang melarang perkhidmatan teksi atau kereta sewa persendirian berpemandu tanpa lesen di republik itu.

Mereka perlu mempunyai lesen yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Kenderaan Awam (LTA) bagi menyediakan perkhidmatan itu.

Tanpa lesen sah, mereka yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga S$3,000 (S$1=RM2.95) serta penjara sehingga 6 bulan.

Menurut satu laporan, 2 pemandu ditahan dalam satu operasi kenderaan pendaftaran Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa berpemandu tanpa lesen pada 17 Ogos lepas.

Kenderaan yang ditahan itu mungkin dilucutkan hak, menurut portal berita Today.

Menurut laporan itu, LTA menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan panas seperti Lapangan Terbang Changi, Marina Bay Sands dan Ban San Street.

Kegiatan haram itu bukan perkara baru dan pemandu Singapura yang menyediakan perkhidmatan kereta sewa berpemandu mendapati jumlah kereta berdaftar Malaysia yang menyediakan perkhidmatan itu semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Today melaporkan sekurang-kurangnya 5 syarikat berpangkalan di Malaysia – Big World Transport, Ben Travel, 168 Go Heng, Ace Transport dan HBC Transport Agency – menawarkan perkhidmatan itu di sini.

Kos perjalanan sehala bagi 4 penumpang kenderaan Malaysia 7 tempat duduk sekitar S$50 dan S$80, kata operator perkhidmatan itu.

Sebelum operasi pada 17 Ogos itu, LTA dilaporkan mengambil tindakan terhadap 3 kes dalam separuh pertama tahun ini, 10 kes tahun lepas dan 7 kes pada 2016.