Betul, simpan resit, banteras pencatutan, kata peruncit

Ameer berkata, terdapat banyak aduan kenaikan harga hanyalah persepsi, bukan bersandarkan fakta kerana pengguna kadang-kadang membandingkan harga promosi atau harga diskaun dengan harga semasa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peruncit mengalu-alukan gesaan supaya pengguna menyimpan resit belian bagi mengesan kenaikan harga barangan berikutan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 1 September depan.

Ameer Ali Mydin.

Bercakap kepada FMT, pengarah urusan rangkaian pasar raya Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, turut mencadangkan pengguna pergi ke kedai runcit dan mencatatkan harga semasa barangan dan membandingkannya dengan harga selepas SST berkuatkuasa.

“Sila pergi ke Mydin dan ambil gambar untuk perbandingan kelak. Kami akan hanya menaikkan harga jika pembekal menaikkan harga mereka,” kata beliau dan menambah ia merupakan “disiplin yang baik” sekiraya pengguna menyimpan resit bagi memantau perubahan harga.

Beliau berkata, ini kerana terdapat banyak aduan kenaikan harga hanyalah persepsi, bukan bersandarkan fakta kerana pengguna kadang-kadang membandingkan harga promosi atau harga diskaun dengan harga semasa.

Idea menyimpan resit mula-mula dicadangkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan disokong Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya harap pengguna menerima cadangan itu dan mudah-mudahan ia dapat mengurangkan aduan tidak perlu berkaitan kenaikan harga,” katanya.

Beliau berkata proses menyiasat aduan tentang amalan pencatutan rumit kerana pihak berkuasa perlu mendapatkan bukti – dalam bentuk invois pembekal – daripada peruncit bahawa mereka tidak menaikkan harga secara tidak adil.

Ameer berkata, sekiranya pihak berkuasa mendapati pembekal menaikkan harga secara tidak adil, maka mereka akan mendapatkan keterangan daripada pembekal sebelum bergerak lebih jauh ke atas rantaian perbekalan.

Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) James Loke berkata, adalah baik sekiranya pengguna menyimpan resit belian mereka kerana selepas 1 Sept ini harga sesetengah barang pasti akan naik.

“Penguatkuasaan boleh membantu mengawal amalan pencatutan, tetapi masih terdapat banyak ketidapastian tentang barangan yang dikecualikan cukai atau yang dikenakan cukai 5% dan 10% walaupun 1 Sept hanya tinggal beberapa hari saja lagi,” kata Loke, yang persatuan diketuainya dianggotai lebih 450 ahli.

Loke juga berkata, perhatian tidak harus ditumpukan kepada peruncit kerana mereka berada di hujung rantaian perbekalan, sebaliknya menambah, harga ditetapkan pengeluar dan pengimport serta sektor perkhidmatan juga perlu diteliti bagi mengatasi pencatutan.