Jalan utama di Putrajaya ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata lencongan serta penutupan jalan akan dibuat bermula hari ini sehingga 31 Ogos.

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan utama di Putrajaya akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula Ahad ini sehingga 31 Ogos sempena acara raptai serta sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata lencongan serta penutupan jalan akan dibuat bermula hari ini sehingga 31 Ogos.

Beliau berkata jalan terlibat ialah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Wawasan, Lebuh Saujana, Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Jalan Perpaduan, Jambatan Wawasan, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Jalan T A Rahman.

“Lebih kurang 6,000 lot parkir awam disediakan dan bagi memudahkan orang ramai ke lokasi sambutan serta terdapat bas ulang-alik yang disediakan di zon tertentu untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

“Sambutan ini akan dimeriahkan dengan perbarisan serta perarakan aset PDRM, ATM serta agensi lain dan dijangka 300,000 orang akan hadir,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, beliau berkata 1,351 pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan dan lalu lintas sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya.

“Polis mengharapkan kerjasama orang ramai supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang diberikan agar sambutan Hari Kebangsaan ini akan berjalan dengan lancar,” katanya.