Laporan caj pesakit kanser hospital kerajaan tinggi tak benar, kata kementerian

Datuk Seri Dr Chen Chaw Min. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan caj ubatan sebanyak RM400 dikenakan terhadap pesakit kanser di hospital kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min berkata caj RM400 bukan caj untuk sekotak ubat Tamoxifen atau ubat Letrozole sebagaimana yang disangkakan.

“Sebaliknya, ia adalah caj keseluruhan rawatan mengikut kitaran. Rawatan kepada pesakit tersebut merupakan rawatan berterusan di mana caj yang dikenakan adalah bagi setiap 4 minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Caj rawatan itu berdasarkan garis panduan pengenaan caj yang dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan KKM.

Baru-baru ini 2 isu dibangkitkan oleh The Star Online dan media sosial berkenaan caj rawatan kelas pertama bagi pesakit rujukan swasta bagi setiap kitaran rawatan kanser dan caj rawatan kelas ketiga bagi pesakit luar rujukan kerajaan bagi setiap kitaran anti-neoplastik/kanser.

The Star sebelum ini melaporkan pesakit kanser dimaklumkan untuk membayar RM400 untuk ubatan yang boleh dibeli dengan kos yang lebih murah di hospital swasta.

Manakala, pesakit kanser Zieyla Zaleha di Facebook beliau berkata bayaran yang dikenakan untuk mendapatkan ubat Tamoxifen bagi 6 bulan atau 6 kitaran ialah RM300 di mana RM50 dibayar untuk 1 kitaran.

Dr Chen berkata bayaran yang dikenakan terhadap Zieyla adalah rawatan radioterapi dan onkologi dalam Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 iaitu kadar caj pesakit luar (rujukan kerajaan) bagi rawatan radioterapi dan onkologi serta perubatan nuklear di mana ia berdasarkan caj pesakit luar iaitu sebanyak RM50 bagi setiap kali rawatan.

Dr Chen berkata bayaran keseluruhan yang dikenakan (termasuk perudingan, ubat dan kos tidak langsung) yang dikenakan kepada pesakit kanser di semua hospital kerajaan termasuk Institut Kanser Negara (IKN) adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kos rawatan seumpamanya di hospital swasta.

“Di samping itu, KKM ingin menyatakan bahawa hasil yang dikutip pada tahun 2017 daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan adalah sebanyak 2.64% daripada kos yang ditanggung oleh kerajaan.

“Justeru, persepsi sesetengah pihak bahawa hospital kerajaan mengaut keuntungan dari pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan adalah tidak benar dan tidak berasas,” katanya.

KKM berkata caj bagi rawatan kanser atau onkologi yang terkandung dalam Perintah Fi (Perubatan) 1982 telah dikaji semula dan pengemaskinian seperti dalam Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 telah dikeluarkan oleh Bahagian Kewangan KKM pada bulan Februari 2017.