Pakar: Pengasuh kanak-kanak perlu jalani saringan kriminogenik berkala elak penderaan

Elemen kriminogenik mustahak disaring bagi mengenal pasti latar belakang dan pendirian yang pro-keganasan atau pro-jenayah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pakar kriminologi dan psikologi mahu kerajaan mewajibkan individu terlibat dalam perkhidmatan penjagaan dan asuhan kanak-kanak menjalani pemprofilan psikokriminogenik secara berkala bagi mengelak kes penderaan kanak-kanak berulang.

Dr Geshina Ayu Mat Saat dari Universiti Sains Malaysia memberitahu FMT, elemen kriminogenik adalah mustahak disaring kerana dapat mengenal pasti latar belakang dan pendirian yang pro-keganasan atau pro-jenayah.

“Individu yang dibesarkan dalam situasi pro-keganasan lebih mudah menganiaya atau mendera kanak-kanak kerana sudah terbiasa dengan keganasan sebagai langkah atau kaedah mendisiplinkan kanak-kanak.

“Saringan secara berkala juga disarankan kerana ia dapat mengesan lebih awal kewujudan simptom pro-keganasan dan simptom tingkah laku tidak tipikal agar langkah rehabilitasi atau pemulihan dapat diambil segera.

Beliau berkata, pemprofilan sekali ke atas bakal pengasuh atau penjaga adalah tidak mencukupi.

Katanya lagi, saringan berkala wajar dilakukan untuk menjaga keselamatan kanak-kanak dan bagi memastikan persekitaran terlindung selain terdapat pemantauan profesional yang berterusan.

Baru-baru ini kes penderaan kanak-kanak di taska dan tadika timbul semula apabila 2 guru tadika di Ayer Keroh, Melaka digantung daripada mengajar dan didakwa di mahkamah selepas melakukan penderaan fizikal ke atas kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

Rata-rata ibu bapa yang menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak menyatakan kebimbangan mereka dan menyarankan setiap guru dan pengasuh menjalani saringan mental bagi mengelak kes penderaan berulang.

Terdahulu, negara juga digemparkan dengan kematian bayi berusia 5 bulan, Adam Raykal Mohd Sufi Naeif yang ditemui disembunyikan pengasuhnya di dalam peti ais.

Geshina berkata, individu yang mengalami masalah atau kecelaruan mental sering menggunakan alasan tidak ada wang untuk membayar kos rawatan mereka.

“Alasan ini tidak patut ada kerana terdapat Jabatan Psikiatri di hospital kerajaan yang mengenakan caj amat rendah bagi membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi.

Menurutnya, ahli kesihatan profesional yang mempunyai latar belakang psikiatri atau psikologi klinikal mempunyai ilmu pengetahuan, pengalaman, dan kepakaran khusus untuk membantu pesakit mengawal atau mengatasi kecelaruan yang dihadapi.