118 tahanan Sosma setuju henti mogok lapar, kata Hanipa

Hanipa (kemeja biru) bertemu ahli keluarga tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH: 118 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma di Penjara Sungai Buloh setuju untuk menghentikan mogok lapar selepas berunding dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang- Undang), Mohamed Hanipa Maidin.

Tahanan terbabit bersetuju menghentikan tunjuk perasaan sejak Jumaat lepas itu selepas diberitahu kerajaan mendengar aduan mereka.

“Kita telah capai satu keputusan positif dan mereka setuju hentikan mogok lapar. Keluarga tahanan tak perlu risau kerana mereka setuju untuk makan dan minum,” katanya apda sidang media di Penjara Sungai Buloh.

Terdahulu Hanipa ke Penjara Sungai Buloh pada tengah hari tadi untuk bertemu wakil tahanan terbabit dan mengumumkan perkembangan terbaru ini selepas perbincangan selama 2 jam.

“Walaupun mereka nampak lemah sebab tak makan tetapi boleh bercakap,” kata Hanipa kepada pemberita.

Dalam pertemuan itu, Hanipa memaklumkan kerajaan mendengar aduan mereka dan meminta tahanan terbabit bersabar dan tidak membahayakan kesihatan dan nyawa.

Beliau juga meminta keluarga tahanan yang berkumpul di luar penjara supaya bersurai.

Semalam, kira-kira 200 ahli keluarga tahanan Sosma menunjuk perasaan di luar penjara menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang kontroversi itu.

Antara tahanan terbabit didakwa ada kaitan dengan jenayah terancang. Seorang penunjuk perasaan berkata suami dan iparnya ditahan selama lebih 1 tahun tetapi tidak dituduh di mahkamah sehingga sekarang.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas memberi jaminan Sosma akan dimansuhkan walaupun terdapat bantahan terhadap rancangan itu daripada dalam kerajaan dan dalam kalangan pengamal undang-undang.

Tommy berkata undang-undang kontroversi itu yang diluluskan pada 2012 menyalahi prinsip kebebasan madani.