Azmin: Pemilihan PKR, kebijaksanaan ahli jadi penentu

Azmin menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pertembungan antaranya dengan Rafizi akan melemahkan struktur kepimpinan parti.

IPOH: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan kebijaksanaan anggota parti bakal menjadi penentu dalam memastikan beliau kekal menyandang jawatan berkenaan selepas Kongres Nasional PKR yang bakal berlangsung November ini.

Beliau percaya setiap anggota parti akan membuat penilaian sewajarnya berdasarkan pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya dalam mengemudi parti dan kerajaan di peringkat negeri sebelum ini.

“Saya menyerahkan kepada kebijaksanaan anggota parti dan saya kira ‘report card’ saya dapat menyatakan keadaan sebenar dan terpulang kepada anggota parti untuk menentukan masa depan parti ini.

“Saya yakin anggota parti akan berpegang pada amalan demokrasi yang baik dengan tertib, bersopan untuk memilih kepimpinan yang mampu membawa PKR ke arah lebih cemerlang,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Cabang (MATC) PKR Perak di sini, hari ini.

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan Mohamed Azmin dicabar Naib Presiden PKR Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden parti.

Azmin menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa pertembungan antaranya dan Rafizi akan melemahkan struktur kepimpinan parti.

Katanya, tanggapan itu hanya bersifat andaian dan tidak sesekali akan merenggangkan perpaduan yang terjalin sama ada dalam kalangan pemimpin mahu pun anggota PKR itu sendiri.

“Pertembungan dengan Rafizi ini membuktikan bahawa demokrasi dalam PKR cukup utuh dan kuat.

“Ini satu proses yang biasa. Saya yakin selesai sahaja pemilihan, parti akan bertambah kuat dengan saf kepimpinan nanti,” katanya.

Mengulas desas-desus mengatakan pemilihan PKR pada kali ini terarah kepada sistem “cai atau memilih calon dalam kalangan kelompok pemimpin tertinggi sayap parti, Azmin berkata perkara itu hanya persepsi yang sengaja dimainkan pihak tidak berkepentingan.

“Saya sering mengambil sikap inklusif untuk memastikan anggota parti dapat diberikan kepimpinan yang baik dengan memastikan perpaduan dalam kalangan pimpinan anggota utuh,” katanya.