Batal BR1M, bukti janji kerajaan PH retorik, kata Pemuda Umno

Razlan percaya tindak-tanduk kerajaan PH memperjudikan nasib rakyat serta negara, dan keputusan dibuat secara ‘bulldozer’ tanpa memikirkan impakya ke atas rakyat.

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membatalkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sudah dijangka, kata ketua Pemuda Umno Wilayah, Datuk Razlan Rafi.

Beliau berkata janji PH untuk meneruskan pemberian BR1M jika gabungan itu menawan Putrajaya hanyalah retorik dalam usaha memujuk rakyat supaya tidak memboikot kerajaan baru.

“Mereka berniat untuk memujuk rakyat agar tidak turun ke jalan raya membantah kerajaan baru. Mereka buat janji hanya sekadar mahu membeli masa supaya rakyat menerima kerajaan PH.

“Apa yang kerajaan PH buat hari ini adalah memperjudikan nasib rakyat dan negara, keputusan diumumkan secara ‘bulldozer’ tanpa memikirkan impak yang akan rakyat hadapi,” katanya kepada FMT sambil memberitahu pemberian BR1M adalah hasil daripada kutipan GST.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata pentadbirannya akan mengurangkan jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum memansuhkannya sama sekali, bertujuan untuk memastikan rakyat lebih berdikari.

“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” kata perdana menteri.

Rafi berkata tindak-tanduk kerajaan PH banyak bercanggahan antara satu sama lain, selain tidak menunaikan janji dalam manifesto mereka.

“Kerajaan kena pandai menjaga rakyat, bukan sebaliknya. Negara ini ditinggalkan dengan keadaan ekonominya baik, boleh bersaing dengan negara luar dan boleh beroperasi tanpa memberi kesengsaraan kepada rakyat, tetapi apa yang terjadi hari ini?.

“Apa yang kerajaan buat hari ini hanyalah mengalihkan pandangan rakyat kepada kes 1MDB. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, mereka patut memikirkan formula dan mencari idea bagaimana mahu menampung kehilangan hasil negara akibat penghapuskan GST dan pengaliran keluar modal.

“Mereka nampaknya kini boleh berbuat apa sahaja, batalkan BRIM, beri konsesi kerajaan kepada kroni, syarikat tidak mesra PH ditekan, pihak pengurusan atasan GLC dan GLIC digantikan dengan kroni, penjawat awam dimalukan,” katanya.

Keputusan kerajaan membatalkan BR1M turut dibidas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkata PH sudah melupakan janji mereka mahu meneruskan BR1M, selain memangsakan golongan berpendapatan rendah.

“Mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?” beliau dilaporkan berkata semalam.