Batal ECRL atau teruskan, PAS akan hormat keputusan kerajaan, kata Hadi
Walaupun rancangan ECRL beri kebaikan kepada negeri pantai timur Semenanjung, segala kecacatannya perlu dibetulkan, kata presiden PAS.
PETALING JAYA: PAS yang memerintah Kelantan dan Terengganu akan menghormati keputusan Putrajaya berhubung projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Hadi berkata walaupun rancangan ECRL akan memberi manfaat kepada negeri pantai timur Semenanjung, segala kecacatannya dalam perjanjian atau pelaksanaan projek perlu dibetulkan.
“Projek itu untuk kemudahan rakyat tetapi ada perjanjian yang tidak menyenangkan. Itu yang perlu diperbetulkan,” katanya pada sidang media di Marang hari ini.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata kerajaan masih sedang mengkaji projek itu, selepas media melaporkan pembatalannya, semasa beliau ke China baru-baru ini.
Hadi berkata PAS faham kesukaran yang Putrajaya hadapi menangani isu ECRL.
“Tindakan untuk membatalkan projek ECRL tidak mudah kerana ada perjanjian yang telah dimeterai dan ada perjanjian yang perlu dihormati.
“Mungkin akan alami banyak masalah sama ada dibatalkan atau diteruskan, tetapi kita perlu melihat mana yang terbaik,” katanya.
Sementara itu, PAS menggesa kerajaan memastikan nasib golongan penerima BR1M terus terbela walapun selepas skim itu dihapuskan.
Beliau berkata konsep membantu golongan termiskin perlu diteruskan dengan penambahbaikan sistematik.
“Usahakan supaya betul-betul dapat mengatasi masalah kemiskinan,” katanya.
Dr Mahathir semalam mendedahkan bahawa bantuan berkenaan akan dikurangkan dan akhirnya dihapuskan.
“Jika anda hanya suap rakyat, mereka akan jadi lemah,” kata perdana menteri.
Sementara itu, Hadi juga berkata PAS tidak lagi peduli dengan janji manifesto PH, kerana pentadbiran Dr Mahathir tidak akan dapat melaksanakannya.
“Kita tak peduli hal orang, kita buat kerja di Kelantan dan Terengganu, di negeri yang kita menang.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Apa yang kita tahu ialah janji-janji itu tak boleh dibuat. Ia semata-mata janji yang dibuat untuk menang pilihan raya, yang mereka tidak dijangka kemenangan itu,”