BR1M patut pecah kitaran kemiskinan, bukan tambah pendapatan

Ali berkata, bantuan tunai patut digunakan untuk tujuan khusus mengupayakan golongan miskin seperti meningkatkan kemahiran mereka. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Program bantuan tunai kerajaan, yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sepatutnya dirancang bagi mengeluarkan penerimanya daripada kitaran kemiskinan, bukannya membantu menambah pendapatan, kata ketua sebuah badan pemikir.

Ali Salman, ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas) berkata beliau menyokong idea bantuan tunai itu selagi ia tidak berterusan dan dirancang dengan sasaran jelas.

“Ia menjadi satu masalah apabila dilihat sebagai sebahagian daripada pendapatan seseorang. Dari segi itu BR1M bertukar menjadi bantuan tanpa syarat dan kekal kerana penerima menerimanya setiap tahun,” katanya kepada FMT semasa sebuah forum mengenai 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

Kerajaan PH menamakan semula BR1M sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) yang melibatkan 4 juta penerima dengan jumlah bantuan sebanyak RM1.6 bilion.

Ali berkata, bantuan tunai patut digunakan untuk tujuan khusus mengupayakan golongan miskin seperti meningkatkan kemahiran mereka.

Katanya, sebagai contoh wang itu boleh digunakan untuk mengikuti kursus bahasa atau kemahiran tertentu.

“Ini merupakan model lebih baik,” kata Ali dan menambah inisiatif sama turut dilaksanakan di negara lain.

Semalam bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempersoal rancangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk akhirnya memansuhkan BR1M, dengan berkata ia akan “menghukum” golongan miskin selain memperluas jurang pendapatan antara golongan kaya dengan yang miskin.

“Orang kaya lebih banyak mendapat faedah  daripada subsidi pukal, manakala kutipan GST lebih banyak daripada SST kerana perbelanjaan mereka lebih,” kata Najib, merujuk kepada cukai barangan dan perkhidmatan yang baru dimansuhkan dan digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan bermula bulan depan.