Hanipa runding dengan tahanan Sosma henti mogok lapar

Hanipa berkata mesej yang ingin disampaikan oleh tahanan Sosma itu sudah diketahui.

SUNGAI BULOH: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang- Undang), Mohamed Hanipa Maidin hari ini meminta tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma di Penjara Sungai Buloh supaya menghentikan mogok lapar mereka.

Beliau berkata mesej yang ingin disampaikan oleh tahanan Sosma itu sudah diketahui, justeru beliau meminta mereka bersabar dan tidak membahayakan kesihatan dan nyawa.

“Peguam negara juga sudah membuat kenyataan (untuk mansuhkan Sosma). Saya hadir untuk beri sokongan kepada keluarga dan berjumpa dengan tahanan selain meminta mereka menghentikan mogok,” katanya kepada media di hadapan Penjara Sungai Buloh, hari ini.

Semalam, kira-kira 200 ahli keluarga tahanan Sosma menunjuk perasaan di luar penjara bagi menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang kontroversi itu, ketika tahanan meneruskan mogok lapar.

Tahanan terbabit, yang antaranya ditahan kerana didakwa ada kaitan dengan jenayah terancang, mogok lapar sejak Jumaat lalu.

Pada hari sama, Peguam Negara Tommy Thomas memberi jaminan Sosma akan dimansuhkan walaupun terdapat bantahan terhadap rancangan itu daripada dalam kerajaan dan dalam kalangan pengamal undang-undang.

Tommy berkata undang-undang kontroversi itu yang diluluskan pada 2012 menyalahi prinsip kebebasan sivil.

Hanipa berkata secara peribadi beliau menyokong kenyataan Tommy, tetapi tidak boleh membuat keputusan sendiri kerana Sosma berada di bawah bidang kuasa Kementeriam Dalam Negeri (KDN).

Katanya, buat masa ini kerajaan sedang menyemak janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dibuat semasa kempen pilihan raya 9 Mei lepas, termasuk janji berhubung Sosma.

“Apa yang saya maklum dalam mesyuarat pasca Kabinet, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan akan ada jawatankuasa untuk melihat janji manifesto PH, termasuk tentang Sosma, tetapi tidak pasti sama mesyuarat telah membuat keputusan atau tidak.

“Saya sokong sebab saya antara yang terlibat berbahas di Parlimen mengenai kezaliman Sosma,” katanya.

Pada Julai lepas, Dr Mahathir berkata kerajaan akan memansuhkan Sosma, yang dilihat sebagai pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sebelum itu.

Kerajaan Barisan Nasional mempertahankan undang-undang itu dan mengatakan ia perlu untuk tujuan pencegahan kegiatan pelampau, termasuk berkaitan IS.

Di bawah Sosma, seseorang boleh ditahan selama maksimum 28 hari dan polis boleh menangguhkan akses kepada keluarga dan peguam sehingga 48 jam selepas ditahan.

Antara yang pernah ditahan di bawah Sosma ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, yang ditahan selama 11 hari kerana peranannya dalam tunjuk perasaan Bersih 5 di ibu negara pada November 2016.

Ia juga digunakan terhadap bekas pemimpin Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hasan kerana melaporkan skandal 1MDB kepada pihak berkuasa asing.