Jumpa di mahkamah, Khalid beritahu pengerusi NGO

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad tidak akan menarik balik saman terhadap pengerusi Gerakan Muslimah Malaysia berhubung dakwaan yang beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menganjurkan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur.

Khalid berkata Wan Asshima Kamaruddin tidak mengeluarkan sebarang kenyataan maaf ke atas dakwaan itu sebaliknya hanya meminta maaf kerana mengaibkannya.

“Saya tidak nampak ia sebagai permohonan maaf yang ikhlas, dia tidak berasa kesal dengan tindakan gelojoh dan tiada fakta, dia hanya guna emosi dan kemudian menuduh saya beremosi, saya hanya menggunakan hak saya apabila orang memfitnah saya.

“Kerajaan Pakatan Harapan menghormati hak bersuara tetapi orang yang mahu bersuara perlu berhati-hati dan bertanggungjawab atas apa yang dikatakan.

“Kalau kenyataan yang dikeluarkan tidak berasas dan bertujuan memprovokasi maka dia perlu bersedia menerima tindakan daripada orang yang difitnah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Khalid berkata tiada sebab untuk beliau berjumpa dengannya.

“Saya tidak nampak sebab saya perlu berjumpa dengannya. Mohon maaf pun belum, tarik balik kenyataan pun tidak. Kalau mahu dia boleh berjumpa pegawai tugas-tugas khas untuk jelaskan tetapi lagi banyak dia cakap lagi teruk, jadi kita jumpa di mahkamah sahaja,” tambahnya.

Baru-baru ini, media melaporkan Wan Asshima menuduh Khalid membenarkan penganjuran pesta gay besar-besaran melalui video di laman Facebook miliknya tetapi video itu telah dipadam.

Susulan itu, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Wilayah Zulhazmi Shariff dan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hisham Fauzi.

Laporan dibuat bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah dan menghasut kebencian dalam masyarakat.