Kementah: Tiga pengiring Hishammuddin tamat perkhidmatan selepas PRU ke-14

Hishammuddin mendakwa beliau menawarkan jawatan pengiring kepada mereka dengan syarat meninggalkan perkhidmatan ATM.

KUALA LUMPUR: Khidmat pegawai pengiring peribadi kepada bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditamatkan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pertahanan.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan sebuah portal berita bahawa 2 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan seorang komando tentera masih bertugas sebagai pengiring kepada Hishammuddin walaupun beliau tidak lagi memegang portfolio menteri pertahanan berikutan kekalahan BN 9 Mei lepas.

Menurut laporan itu, 2 pegawai PASKAL tersebut masih dalam perkhidmatan dengan khidmat masing-masing akan tamat pada 2020 dan 2021, manakala komando berkenaan didakwa antara individu yang kelihatan dalam gambar yang dimuat naik Hishammuddin di laman Twitter beliau baru-baru ini.

Ketiga-tiga anggota itu juga didakwa masih menerima gaji daripada ATM selain daripada Hishammuddin sendiri.

Hishammuddin mendakwa beliau menawarkan jawatan pengiring kepada mereka dengan syarat mereka meninggalkan perkhidmatan ATM.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan akan diambil bagi memastikan semua anggota yang masih berkhidmat tidak melaksanakan tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak serta kaitan berdasarkan peraturan semasa.