Lelaki OKU mahu cipta rekod tunggang motosikal sebelah tangan lebih 5,000km

Santana berkata kecacatan tidak menghilangkan semangat patriotismenya dan sanggup menghadapi cabaran untuk motivasikan diri serta menunjukkan teladan kepada orang lain. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Bersempena Hari Malaysia, seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) akan cuba mencipta nama dalam Malaysian Book of Records (MBR) dengan menunggang motosikal sebelah tangan pada jarak paling jauh.

A Santana Dass, yang hanya mempunyai tangan kiri akan cuba mengembara bersendirian sejauh 5,922 km dari Pulau Pinang pada 16 September ini merentasi Thailand, Myanmar dan Singapura selama 14 hari dengan menunggang motosikal Yamaha R25 yang telah diubah suai.

Santana kehilangan tangan kanannya 3 tahun lepas apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Macalister. Beliau dirawat di hospital selama 8 hari berikutan kemalangan itu.

“Kecacatan tidak akan menghalang saya mencuba sesuatu yang baru. Stigma dan persepsi tidak betul bahawa orang yang mempunyai kecacatan tidak mahu atau tidak boleh menyertai aktiviti sukan merupakan halangan paling utama perlu saya atasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Sungguhpun kehilangan sebelah tangan, Santana berkata kecacatan tidak menghilangkan semangat patriotismenya terhadap negara dan sanggup menghadapi cabaran untuk motivasikan diri serta menunjukkan teladan yang baik kapada orang lain.

Beliau merancang menunjukkan kecintaan terhadap negara dengan meliputi motosikalnya dengan bendera Malaysia dan memasang bendera yang lebih besar ketika majlis pelancaran nanti.

“Perjalanan paling jauh saya setakat ini ialah dari Pulau Pinang ke Singapura dan telah berjaya mencubanya beberapa kali, dan cubaan mencipta rekod baru ini disokong oleh isteri saya E Poovaneswari serta 4 anak saya,” katanya.

Menurut beliau pengubahsuaian terhadap motosikal Super 250 itu cuma melibatkan pemindahan pendikit dari kanan ke kiri dan sehingga kini masih belum ada rekod yang dicipta bagi perjalanan jarak jauh motosikal sebelah tangan dalam MBR mahupun Guinness World Record.

Sementara itu beliau berharap permohonannya bagi pengiktirafan Guinness World Record yang beliau hantar pada 7 Ogos akan diterima sebelum sebelum Hari Malaysia, serta memperolehi penaja bagi cubaannya mencipta rekod.

Beliau menjelaskan sekira permohonan untuk Guinness World Record diterima sebelum 16 September beliau boleh mencipta nama secara serentak.

Beliau berkata keseluruhan perbelanjaan bagi pengembaraanya itu dianggarkan RM27,000 termasuk petrol, penginapan, bahan promosi serta yuran penyertaan bagi MBR (RM1,810) dan Guinness World Records (RM4,100).

“Saya telah menghantar surat kepada Yamaha dan organisasi lain untuk mendapatkan penajaan namun masih ada jawapan. Setakat ini penaja saya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Uban, A Kumaresan,” katanya.