MCA: Pembangkang kuat perlu untuk pastikan PH tunai janji

Ong juga berkata ketiadaan pembangkang yang kuat menyebabkan Putrajaya boleh membuat rancangan untuk melancarkan kereta nasional ke-3, bukannya menunaikan janji dibuat dalam pilihan raya 9 Mei lepas. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: MCA berkata ketiadaan pembangkang yang kuat merupkan sebab kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bebas melanggar janji pilihan rayanya.

Naib presiden parti itu, Datuk Ong Chong Swen juga berkata ketiadaan pembangkang yang kuat menyebabkan Putrajaya boleh membuat rancangan untuk melancarkan kereta nasional ke-3, bukannya menunaikan janji yang dibuat dalam pilihan raya 9 Mei lepas.

“Tiada pembangkang kuat untuk memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan kata beliau, mesti disemak dan dipantau atau ia berhadapan risiko menjadi sebuah pentadbiran yang “autokratik dan korup”.

Veteran DAP, Lim Kit Siang sebelum ini menolak anggapan MCA boleh memainkan peranan semak dan imbang dan berkata parti itu perlu mengubah dirinya terlebih dahulu sebelum boleh dipertimbangkan oleh pengundi.

“Peranan apakah yang boleh dimainkan MCA? Ia adalah sebahagian daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun yang terlibat dengan salah guna kuasa,” kata pemimpin DAP itu.

Lim membuat kenyataan itu sebagai respons terhadap ucapan calon MCA dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balakong, Tan Chee Teong, yang berkata beliau akan memainkan peranan semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mendesak kerajaan negeri menunaikan janji manifestonya.

Ong berkata terdapat 56 kerusi di DUN Selangor dan pembangkang hanya mempunyai 5 daripadanya.

Beliau berkata pengagihan kuasa antara kerajaan dan pembangkang sangat berat sebelah.

“Apabila parti kerajaan terlampau kuat dan pembangkang lemah, maka agihan itu tidak baik untuk tujuan pemantauan bersama dalam DUN Selangor,” katanya.