Sosma lebih kejam, Anwar gesa semak semua kes tahanan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pihak berkuasa semak semua kes Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, susulan aduan tentang prosedur dan layanan terhadap tahanan undang-undang pencegahan itu.

Bekas ketua pembangkang itu menyokong kewujudan undang-undang melawan pengganas tetapi menyeru prosedur yang adil dan berperikemanusiaan.

Anwar menyebut beberapa aduan terhadap Sosma seperti pengasingan tahanan, tidak memberikan akses kepada keluarga dan peguam, dan penahanan berterusan orang-orang yang dibebaskan semasa kerajaan merayu keputusan mahkamah.

“Tidak adil sekiranya seseorang ditahan bawah Sosma hanya kerana memakai kemeja T IS,” katanya, merujuk kepada kumpulan militan IS.

“Saya rasa tindakan ini mungkin bukan rangka kerja undang-undang yang sah untuk negara yang bebas dan demokratik seperti Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku “Anwar Returns: The Final Twist – The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim” di Hotel Hilton hari ini.

Baru-baru ini 160 tahanan Sosma di Penjara Sungai Buloh mogok lapar sejak Jumaat, diikuti tunjuk perasaan oleh kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga para tahanan menggesa undang-undang pencegahan itu dimansuhkan. Antara tahanan terbabit didakwa ada kaitan dengan jenayah terancang. Seorang penunjuk perasaan berkata suami dan iparnya ditahan selama lebih 1 tahun tetapi tidak dituduh di mahkamah sehingga sekarang.

Mogok lapar itu tamat hari ini selepas rundingan antara wakil tahanan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Hanipa Maidin. Peguam Negara Tommy Thomas semalam memberi jaminan Sosma akan dimansuhkan oleh kerajaan PH kerana ia menyalahi prinsip kebebasan madani.

Sosma memperuntukkan langkah-langkah khas bagi membendung aktiviti yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara. Sejak 2013 lebih 415 suspek pengganas ditangkap di Malaysia dan daripada jumlah itu, 180 orang didakwa, 140 orang disabit kesalahan dan 106 orang dibebaskan.

Seramai 25 militan asing juga ditangkap apabila mereka memasuki Malaysia.

Antara yang pernah ditahan bawah Sosma ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah kerana peranannya dalam tunjuk perasaan Bersih 5 pada November 2016. Ia juga digunakan terhadap penyokong kuat Dr Mahathir, Datuk Khairuddin Abu Hassan kerana melaporkan skandal 1MDB kepada pihak berkuasa asing.