18 tahun usia sesuai berkahwin, kata bekas hakim syarie

Ismail Yahya berkata, perlu ada syarat ketat untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun berkahwin.

SHAH ALAM: Seorang bekas hakim syarie mencadangkan usia minimum bagi umat Islam berkahwin ditetapkan pada 18 tahun kerana seseorang itu akan menamatkan persekolahan dan sedia bekerja.

Katanya, cadangan itu juga boleh menyelesaikan isu sama ada mereka bebas dari segi kewangan.

“Pada usia itu, remaja lelaki dan perempuan berpeluang mencari kerja,” kata Datuk Ismail Yahya dalam sebuah forum perkahwinan bawah umur anjuran Majlis Peguam Selangor hari ini.

Tetapi, bekas ketua hakim syarie Terengganu itu berkata, remaja berusia 16 dan 17 tahun masih boleh berkahwin, tetapi perlu mematuhi syarat ketat.

“Ini perlu ditentukan mahkamah syariah berdasarkan kelulusan doktor perubatan.”

Sementara itu, peguam syarie, Farhan Haziq Mohamed berkata, ia adalah tugas sukar untuk Putrajaya menyeragamkan usia minimum perkahwinan umat Islam kerana undang-undang syariah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Tambahan, mahkamah sivil tidak boleh campur tangan bidang kuasa mahkamah syariah berkaitan hal agama yang eksklusif kepada umat Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Persetujuan raja-raja Melayu yang merupakan ketua Islam di negeri mereka dan Majlis Raja-raja adalah sama penting.”

Isu perkahwinan kanak-kanak hangat dibincangkan selepas Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41, mengahwini Masaryu Mat Rashid sebagai isteri ke-3 beliau di Sungai Golok, pada 18 Jun lalu, tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Narathiwat.

Peraih getah sekerap dari Gua Musang itu mempertahankan tindakannya dengan berkata, beliau terlebih dahulu meminta kebenaran ibu bapa kanak-kanak itu dengan syarat mereka nikah gantung dahulu dan akan tunggu 5 tahun untuk tinggal bersama.

Tetapi, aktivis sosial menggesa beliau didakwa dengan elemen antun atau “sexual grooming” di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan kerajaan melarang perkahwinan bawah umur.

Pada 9 Julai lalu, Karim didenda Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang sebanyak RM1,800 selepas mengaku bersalah terhadap 2 pertuduhan, iaitu berkahwin serta berpoligami tanpa kebenaran.