Batal BR1M: Umno desak Zeti letak jawatan

BR1M diperkenalkan semasa Zeti Aziz bergelar gabenor Bank Negara dan beliau mempertahankan idea tersebut. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno mendesak ahli Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz meletak jawatan sebagai ahli dalam Majlis Penasihat Negara (CEP) sekiranya BR1M dibatalkan.

Mohd Puad Zarkashi.

Ahli majlis tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata BR1M adalah idea Bank Negara Malaysia (BNM) ketika Zeti memegang jawatan sebagai gabenor dan beliau mempertahankan idea tersebut.

“BRIM dicadangkan dalam pembentangan Lembaga Pengarah BNM yang dihadiri oleh Datuk Seri Najib Razak pada Mac 2011.

“Ia kemudiannya dibentang dan dibahas dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada Mac dan Ogos 2011. Dengan kata lain BRIM lahir melalui pertimbangan teliti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata BR1M diperkenalkan supaya sampai kepada golongan ‘sasar’ yang sebenarnya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata pentadbirannya berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Puad berkata BRIM dibatalkan kerana ego dan kesilapan Dr Mahathir membatalkan GST.

“Dia mahu menghapuskan legasi Najib kerana BRIM dikaitkan dengan Najib. Akibatnya rakyat yang susah. Padahal ia hasil kajian teliti dan dipuji oleh pakar ekonomi dan Parlimen UK,” katanya.

Katanya, selain Zeti, ahli CEP lain iaitu Prof Jomo Kwame Sundaram “dicucuk hidung” oleh kerajaan Pakatan Harapan.