Beijing jemput DAP untuk kukuh hubungan, kata Kit Siang

Lim Kit Siang (tengah, jaket hitam) bersama pemimpin DAP lain memegang cek cura dalam pertemuan dengan rakyat Malaysia di Shanghai.

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang memberitahu perjumpaan rakyat Malaysia di Shanghai semalam bahawa parti itu mempunyai peranan untuk dimainkan dalam usaha mengukuhkan hubungan dengan negara China di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan China menjemput DAP melawat Shanghai dan Peking (Beijing) bagi memperkukuh hubungan antara 2 negara,” katanya, seperti dipetik oleh gabungan reformasi pilihan raya, Bersih cawangan Shanghai, penganjur forum bertajuk “Diaspora Malaysia dan Malaysia Baru” di bandar raya itu.

Lawatannya ke China dibuat sekembalinya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad daripada lawatan rasminya ke negara Tembok Besar itu yang mendapat liputan meluas baru-baru ini.

Selain Lim, yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, turut serta dalam forum tersebut ialah beberapa orang wakil rakyat DAP lain, termasuk Chew Chong Sin, Fong Kui Lun, Ngeh Koo Ham, Alice Lau, Khoo Poay Tiong, Chan Foong Hin, Oscar Ling dan Wong Tack.

Dalam ucapannya Chew menggesa kerajaan PH membentuk sebuah panel khas untuk menarik rakyat Malaysia yang tinggal di China supaya pulang dan menyertai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu pembangunan sebuah “Malaysia baru”.

“Saya berharap kerajaan akan menubuhkan sebuah Panel Harapan untuk memilih dan membantu calon sesuai, serta memberi insentif dan menghapuskan sekatan tertentu untuk menggalakkan mereka pulang ke Malaysia,” katanya.

Forum 3 jam itu, yang membincangkan isu seperti dasar yang mendiskriminasi, kontroversi sijil UTC dan penangguhan projek mega, menyaksikan peserta mengutip derma sebanyak RMB18,888 (RM11,354) untuk Tabung Harapan – tabung yang diwujudkan kerajaan PH bagi membolehkan orang awam menyumbang ke arah pelunasan hutang negara.

Chew juga berkata, Malaysia dan China kini bergerak ke arah hubungan yang lebih seimbang berikutan keputusan Putrajaya menangguhkan beberapa projek infrastruktur dikendalikan beberapa syarikat China.

Kerajaan China sangat memahami bahawa projek tersebut tidak mapan atau berdaya maju dari segi ekonomi,” katanya seperti dipetik oleh Bersih Shanghai.