Bos Mydin beritahu Putrajaya cara bayar segera bayaran balik cukai

Ameer Ali Mydin berkata lebih munasabah sekiranya kerajaan meminjam wang untuk membayar balik pembayar cukai kerana ia boleh meminjam dengan kadar faedah lebih rendah berbanding syarikat perniagaan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Usahawan runcit Datuk Ameer Ali Mydin berkata pembayaran wang bayaran balik cukai kira-kira RM36 bilion kepada pembayar cukai tidak harus dilewatkan dengan berkata, kerajaan boleh meminjam jumlah wang itu dan menyelesaikan pembayaran dalam tempoh sebulan.

Ameer, pemilik rangkaian pasar raya Mydin berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng patut dipuji kerana berterus-terang tentang sebab kelewatan bayar balik itu, namun peniaga perlu mendapat wang mereka semula dan wang itu tidak ditolak daripada jumlah cukai semasa yang dikenakan ke atas mereka.

“Kami tidak boleh memberitahu bank, pembekal, kakitangan dan pelanggan bahawa kami tiada wang. Kami juga berhadapan cabaran berikutan pembekuan ke atas pekerja asing, kenaikan gaji dan tarif elektrik lebih tinggi,” kata Ameer kepada FMT.

Lim baru-baru ini berkata kerajaan lepas gagal membayar balik lebihan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah berjumlah lebih RM16 bilion pada akhir Mei lalu.

Beliau juga mendedahkan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion juga tidak diselesaikan.

Lim memberitahu, kerajaan akan membenarkan individu atau syarikat yang mempunyai tunggakan bayaran balik cukai menolak jumlah wang terbabit daripada taksiran cukai semasa mereka.

Ameer berkata, dalam kes Mydin, kerajaan berhutang dengan syarikat rangkaian pasar raya itu wang bayaran balik cukai sebanyak RM30 juta bagi tahun 2016 dan 2017.

Katanya wang itu boleh digunakan untuk membesarkan perniagaan atau membantu aliran tunai syarikat.

Ameer berkata, syarikat juga tidak perlu terlalu bergantung kepada bank sekiranya wang itu dibayar balik.

Beliau berkata, adalah lebih munasabah sekiranya kerajaan meminjam wang untuk membayar balik pembayar cukai kerana ia boleh meminjam dengan kadar faedah lebih rendah berbanding syarikat perniagaan.

“Jika semua pihak mendapat semula wang bayaran balik cukai mereka, besar kemungkinan sebahagian besar wang itu akan memasuki sistem kita kerana kebanyakan pembayar cukai merupakan rakyat Malaysia yang akan membelanjakan wang itu di negara ini.

Ameer berkata, walaupun perbuatan kerajaan lepas membelanjakan wang sebanyak RM36 bilion yang sepatutnya dikembalikan kepada pembayar cukai sesuatu yang malang dan sebilangan pegawai awam dipersalahkan kerananya, namun kerajaan sekarang bertanggungjawab mengembalikan wang itu kepada pembayar cukai.