Emmerson Mnangagwa angkat sumpah presiden Zimbabwe

Emmerson Mnangagwa berikrar memulihkan ekonomi Zimbabwe yang lumpuh serta menyelesaikan hutang dengan peminjam asing. (Gambar Reuters)

HARARE: Emmerson Mnangagwa menggesa Zimbabwe agar bersatu susulan pelantikan beliau sebagai presiden negara itu ketika mengangkat sumpah jawatan selepas satu pilihan raya yang kelam-kabut dan menyaksikan perpecahan dalam kalangan rakyatnya.

Mahkamah Perlembagaan mengesahkan Mnangagwa sebagai Presiden pada Jumaat selepas menolak bantahan ketua pembangkang, Nelson Chamisa, yang ditewaskannya semasa hari pengundian pada 30 Julai.

Beribu-ribu rakyat Zimbabwe, sesetengahnya dibawa oleh beberapa buah bas, serta pemimpin asing termasuk dari Afrika Selatan iaitu Cyril Ramaphosa dan Paul Kagame dari Rwanda berhimpun di stadium nasional Harare pada Ahad untuk menyaksikan upacara angkat sumpah itu.

“Saya menggesa agar kita semua memberikan komitmen secara kolektif untuk membangunkan tanah air kita… apa yang menyatukan kita lebih hebat daripada apa yang mampu memecah-belahkan kita,” kata Mnangagwa dalam ucapan perdana beliau.

Beliau turut mengulangi ikrar yang dibuat sebelum pilihan raya untuk memulihkan ekonomi Zimbabwe yang lumpuh serta menyelesaikan hutang dengan peminjam asing, dan berkata beliau akan mengarahkan agar satu inkuiri bebas dilakukan berhubung kekerasan tentera “yang amat dikesali serta tidak boleh diterima” ketika pengundian, yang menyaksikan 6 orang maut.

“Sekarang adalah masa untuk kita bersatu sebagai sebuah negara dan mengembangkan ekonomi kita,” kata Mnangagwa.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di depan Ketua Hakim Negara Luke Malaba.

Pada Jumaat, Malaba yang bersidang bersama-sama 8 hakim lain memutuskan untuk menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh Chamisa.

Pada pilihan raya itu, Mnangagwa berjaya meraih sejumlah 50% undi yang diperlukan untuk mengelak pilihan raya penentu.