Imigresen: Pastor Raymond Koh mungkin disekat ke luar negara pada 2012

KUALA LUMPUR: Rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menunjukkan pada 2012, tiada pergerakan keluar negara bagi Pastor Raymond Koh dan isterinya, Susanna Liew, kata penolong pengarah jabatan itu.

Memberi keterangan kepada satu inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Hamid Momong berkata, rekod berbeza dapat dilihat di antara tahun 2011, 2013 hingga 2017 terdapat pergerakan aktif keluar negara bagi Koh dan isterinya.

“Januari hingga Disember 2014 dan 2015 dianggarkan purata pergerakan Koh dan isterinya keluar negara adalah 3 kali dalam sebulan. Pada 2016 juga sama, terdapat pergerakan tetapi kurang, dianggarkan sebulan sekali.

“Manakala pada 2017, ada 2 kali rekod pergerakannya. Rekod untuk tahun 2012 bagaimanapun tidak dapat dikesan melalui sistem bagi yang menggunakan pasport,” katanya sewaktu memberi keterangan sebagai saksi ke-12 di Ibu Pejabat Suhakam, hari ini.

Hamid juga tidak menolak isu dibangkitkan Pengerusi Panel Siasatan Kehilangan Orang Awam, Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai bahawa Raymond dan isterinya berkemungkinan disekat untuk keluar negara pada 2012.

“Berkemungkinan (disekat pada 2012), bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka disekat atau tidak. Hanya boleh dianggap tidak ada pergerakan,” katanya.

Terdahulu Liew berkata, beliau dan suaminya pernah menerima bungkusan putih mengandungi 2 butir peluru dan nota ugutan pada 26 Ogos 2011.

Ia berlaku selepas lebih 3 minggu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu majlis makan malam amal anjuran Harapan Komuniti yang dihadiri orang Islam.

Liew berkata, beliau dan suaminya juga dilarang keluar negara masing-masing sebanyak 7 dan 9 kali antara Oktober 2011 hingga Oktober 2012, serta pernah disoal siasat pegawai polis Cawangan Khas.

Beliau mengesyaki kedua-dua perkara itu ada kaitan dengan majlis makan malam amal anjuran Harapan Komuniti di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos 2011.

Hamid turut menjelaskan mengenai 2 tatacara operasi dilakukan jabatannya dalam mengenal pasti individu yang menjadi perhatian dan kawalan pihak imigresen.

“Secara prinsip ada 2, pertama yang kita tolak kemudahan, seperti contoh mereka yang disekat ke luar negara; kedua tidak tolak kemudahan mereka, melainkan hanya direkodkan dan berikan kepada agensi berkaitan, tidak ada tindakan lain,” katanya.

Hamid memberitahu, agensi berkaitan itu adalah jabatannya sendiri, polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), termasuk mana-mana pihak yang mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

Kenyataan Hamid itu dipersoalkan peguam mewakili keluarga, Philip Koh yang bertanya adakah rekod keluar negara itu disertakan dengan rekod kenyataan Raymond dan isteri sewaktu hendak ke luar negara.

Hamid menjelaskan, “tidak semua rekod sampai ke ibu pejabat. Untuk rekod lain saya akan cuba dapatkan, namun untuk rekod sama ada Raymond dan isterinya diambil keterangan itu dilakukan jabatan itu sendiri dan dilakukan secara lisan serta “off record”,”

Pada April tahun lalu, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Polis Negara memberitahu kehilangan Raymond mungkin ada kaitan dengan usahanya mengembangkan agama Kristian di utara Semenanjung.

Polis menerima beberapa laporan daripada individu mendakwa Raymond pergi ke Kangar, Perlis pada 19 dan 29 Januari lalu untuk mempengaruhi sekumpulan pemuda memeluk Kristian.

Raymond diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu, semasa memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.

Beliau diculik semasa dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan ia satu rancangan rapi melibatkan lebih daripada 10 lelaki dan 7 buah kenderaan pada siang hari.