Keliru antara karya seni dan vandalisme

Pasti sekali-sekala kita pernah melihat karya-karya seni yang terhias di dinding-dinding yang ada di negara kita. Karya-karya seni itu kadang-kala menangkap perhatian kita kerana kecantikan dan juga mesejnya. Namun begitu, ada juga segelintir daripada kita yang berpandangan segala karya seni itu hanya menyesakkan pandangan mata. Lalu, kita sebagai orang awam menghukum semua karya seni itu sebagai vandalisme dengan sewenang-wenangnya.

Masih ramai dalam kalangan kita yang tidak dapat membezakan antara grafiti, mural, dan vandalisme dengan sebetulnya. Bagi segelintir daripada kita, karya seni yang terpapar di dinding-dinding itu adalah sama sahaja. Lantaran itu, kita berpandangan semua karya seni yang terpapar itu merosakkan pandangan mata sahaja.

Artikel ini sebenarnya adalah untuk berbicara mengenai grafiti. Namun begitu, sebelum saya menjelaskan berkenaan grafiti, molek benar kiranya saya menerangkan mural dan vandalisme yang masih ramai tidak ketahui.

Vandalisme

Vandalisme ialah perlakuan yang merosakkan harta benda seseorang atau harta benda awam secara kasar untuk tujuan menjahamkan. Vandalisme (dalam konteks esei ini) berbentuk contengan-contengan yang terpapar di dinding-dinding (dalam tandas lelaki misalnya) yang tidak mengandungi mesej tersirat atau unsur keindahan. Contengan-contengan ini biasanya memaparkan nombor telefon (entah milik siapa), perkataan-perkataan atau lukisan-lukisan yang bersifat lucah, lucu, provokasi, dan penuh penghinaan.

Mural

Mural pula ialah lukisan besar yang dilukis pada dinding atau tembok bangunan. Lukisan mural perlu mengambil kira beberapa unsur (element) seperti kesesuaian bangunan, reka bentuk, estetika, dan keindahan. Mural digunakan untuk memaparkan kegiatan spiritual, ekspresi diri, ekspresi seni, dan interaksi dua hala yang sudah semestinya melalui lukisan.

Grafiti

Grafiti pula ialah contengan di dinding yang mempertimbangkan komposisi warna, garis, dan bentuk untuk yang memaparkan perkataan, simbol, atau kalimah tertentu. Alat yang digunakan untuk untuk menghasilkan grafiti ialah cat sembur. Setiap grafiti yang dihasilkan mempunyai maknanya yang tersendiri. Ada grafiti yang mudah difahami tetapi ada juga grafiti yang sukar difahami. Kebanyakan orang (termasuklah saya) kadang-kala tidak memahami maksud yang terkandung dalam sesuatu grafiti. Lalu, grafiti itu sekadar dipandang sebagai suatu keindahan seni (itu pun jika mahu dipandang sebagai suatu keindahan!).

Bagaimanapun, untuk menentukan hasil seni yang terpapar di dinding itu sama ada grafiti atau mural bukanlah mudah sebenarnya. Masih ramai beranggapan mural dan grafiti itu sama sahaja.

Beza antara mural dan grafiti

Dalam bahasa mudahnya, perbezaan antara mural dan grafiti ialah mural dihasilkan secara bebas yakni tidak hanya dalam bentuk tulisan semata-mata. Mural lebih menjurus kepada isu sosial dan bahan untuk melukisnya bukan hanya cat sembur sahaja. Cat dinding, cat kayu, atau pewarna apa pun boleh digunakan juga.

Berbeza dengan grafiti, grafiti merupakan karya seni yang berbentuk tulisan. Cat sembur ialah bahan yang sering digunakan dan menjadi keutamaan.

Mesej yang terkandung dalam sesuatu grafiti selalunya mengandungi unsur-unsur mistik, spiritual, propaganda, sindiran, atau ketidakpuashatian. Oleh sebab itulah, untuk memahami maksud grafiti itu adalah sesuatu yang penuh kesukaran. Bagi orang yang akrab dengan seni (lebih tepat lagi orang yang terlibat dengan grafiti), mentafsirkan grafiti mungkin sesuatu yang mudah sama sekali.

Grafiti ini biasanya dilakukan oleh anak-anak muda. Hal ini kerana, (mungkin) hanya melalui grafiti sahaja, mereka boleh menyampaikan suara mereka. Melalui grafiti juga, mereka boleh melepaskan rasa marah dan kecewa mereka terhadap sesuatu perkara. Semua ini berlaku apabila suara atau perasaan mereka tidak pernah mahu diambil cakna. Mereka juga tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati mereka.

Memandangkan suara anak-anak muda ini tidak mahu didengari, maka mereka mula memberontak melalui seni. Mereka menggunakan cat sembur untuk meluahkan perasaan. Mereka menggunakan dinding yang ada di lorong atau jalan untuk menunjukkan rasa ketidakpuashatian. Semuanya dilakukan kerana mereka mahukan kebebasan dan memprotes terhadap kehidupan yang sengaja diaturkan.

Memandangkan grafiti ini sering dilakukan oleh anak-anak muda yang penuh kemarahan dan ketidakpuashatian, maka unsur-unsur negatif dalam karya-karya grafiti itu sering sahaja dipaparkan. Bagaimanapun, bukan semua karya grafiti itu bersifat negatif sahaja. Unsur-unsur positif pun tetap ada juga. Semuanya bergantung kepada siapa pelukisnya.

Jika pelukis grafiti itu memaparkan unsur-unsur positif, maka lukisan itu mempunyai mesej yang positif. Namun, jika pelukis grafiti itu memaparkan unsur-unsur yang negatif, maka lukisan itu pasti akan mempunyai mesej yang negatif.

Grafiti yang membawa mesej yang positif sudah pastilah mengangkat tema kasih-sayang, kehidupan, kemanusiaan, perpaduan, dan keamanan. Mesej-mesej ini amat penting disampaikan kepada khalayak ramai untuk memberi kesedaran dan peringatan.

Kerajaan perlu menyediakan ruang yang lebih luas kepada pengkarya jalanan ini untuk menghasilkan karya mereka. Berilah mana-mana dinding yang kosong untuk pelukis grafiti ini mengekspresikan seni mereka. Masyarakat pula jangan sesekali menganggap melukis grafiti ini sebagai aktiviti yang membuang masa. Hal ini kerana, lukisan grafiti ini begitu banyak mesejnya. Cuma mesej itu perlu difahami dengan sebaiknya.

Artikel ini disumbangkan oleh Muhammad Nurhaziq dari sayapejuangbahasa.blogspot.com