Selera Malaysia sempena bulan Merdeka di Grand Seasons

Malaysia sememangnya kaya dengan variasi pelbagai jenis makanan dan juadah. Apatah lagi menjelangnya sesuatu perayaan atau sambutan, makanan menjadi identiti penting dalam menyerlahkan hari tersebut.

Bulan ini, Ogos kita berdepan salah satu sambutan terbesar iaitu bulan Merdeka atau Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti. Maka tidak hairanlah jika kita menghayati sambutan tersebut dengan barisan makanan yang melambangkan imej tanahair.

Mengambil kita perkara tersebut, Hotel Grand Seasons di ibu kota memperkenalkan menu makanan khas bulan kebangsaan dengan tema, “Flavours of Malaysia” bermula 27 Ogos hingga Hari Malaysia iaitu 16 September 2018.

Restoran Seasons Coffee House membariskan masakan yang mewakili setiap negeri, membawa pengunjung “mengunjungi peta makanan se-Malaysia” di atas meja makan.

Menurut ketua chef, Chef Fauzi, pihaknya menawarkan lebih 200 menu dan setiap makanan dipilih secara teliti agar menjadi identiti sebenar kenegerian.

Antaranya ialah Kambing Masak Kuzi Kampung Tembrau dan Rendang Ayam Hijau yang yang berasal dari Johor, Asam Laksa dari Pulau Pinang, rendang Nyonya dari Melaka, tempoyak dari Pahang dan sebagainya.

Selain makanan berasaskan negeri, turut dihidang dalam menu “Flavours of Malaysia” ialah makanan yang menjadi tarikan umum seperti udang mentega disalut telur masin serta ikan siakap kukus dengan cendawan dan banyak lagi.

Kalau dah dilabel makanan Malaysia, ia juga sepatutnya menyambut kepelbagaian bangsa dan budaya tempatan, maka makanan Oriental iaitu Cina, makanan berempah iaitu India dan makanan Barat juga tidak sepatutnya ditinggalkan.

“Kami mahu pengunjung menikmati makanan Malaysia yang bukan sahaja terhad dengan satu konsep seperti negeri, budaya atau bangsa. Jadi kami percaya hidangan kali ini memberi pengunjung pilihan yang lebih luas selain peluang bereksperimen dengan setiap makanan yang mungkin jarang diperolehi selain di negeri tersebut,” ujar Chef Fauzi kepada FMT Ohsem.

Beliau mengesyorkan beberapa makanan India seperti ikan merah masak salsa dengan lada bengala, daging masak halia dengan daun bawang dan Sotong Kadai yang kaya dengan rempah ratus.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga pasti tidak mahu melepaskan peluang menikmati pencuci mulut yang turut menggunakan konsep kenegerian sebagai hidangan ‘utama’.

Puteri Mandi atau Pulut Serawa Durian dari Kelantan antara pilihan yang disyorkan memandangkan ia disediakan menggunakan bahan segar dan berkualiti oleh chef pastrimya, Chef Khairi Mohd Najib.

Chef Eksekutif hotel itu, Randy Liow pula berkata, inspirasi untuk hidangan buffet “Flavours of Malaysia” pada tahun ini terhasil selepas beliau dan pasukannya terdedah kepada pelbagai masakan Malaysia sejak beberapa tahun.

“Kita sebagai rakyat Malaysia menikmati makanan dan menu ini adalah refleksi kepada pengalaman kulinari kami dalam bidang makanan. Kami memilih makanan ini dengan mengambil kira cita rasa pelanggan tempatan,” katanya.

Flavours of Malaysia boleh didapati pada hari minggu iaitu dari Isnin hingga Jumaat sepanjang 12 tengah hari hingga 2.30 petang pada harga RM73 untuk dewasa dan RM36 untuk kanak-kanak.

Restoran Coffee House juga akan menawarkan sesi Hi Tea sempena Merdeka pada 31 Ogos dengan harga RM63 untuk dewasa dan RM31 untuk kanak-kanak.