Sivarasa bincang apa dengan syarikat Musang King di Gua Musang, soal Siti Kasim

Siti Kasim berkata berkata perjumpaan itu meragukan kerana selepas pertemuan diadakan, pembantu Sivarasa menghubungi Orang Asli dan mengarahkan mereka membenarkan wakil syarikat masuk melepasi sekatan.

KUALA LUMPUR: Peguam dan aktivis sosial Siti Kasim mempersoalkan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah berhubung pertemuannya dengan syarikat pengusaha ladang durian Musang King di Kampung Kaleng, Gua Musang awal bulan lalu.

Beliau berkata perjumpaan itu sangat meragukan kerana selepas pertemuan diadakan, pembantu peribadi Sivarasa bertindak menghubungi Orang Asli di situ dan mengarahkan mereka membenarkan sekumpulan lelaki didakwa wakil syarikat masuk melepasi sekatan.

“Isunya kenapa mereka berani masuk dan melepasi sekatan? Kita tidak tahu kandungan sebenarnya perbincangan antara Sivarasa dan syarikat tersebut.

“Tiba-tiba sahaja selepas perjumpaan diadakan, pembantu peribadinya menghubungi dan beritahu kepada Orang Asli supaya membenarkan ‘orang durian’ masuk dan melepasi sekatan yang dibuat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berhubung sekatan Orang Asli di Gua Musang yang masih belum menemui jalan penyelesaian. Awal bulan lalu, sekatan yang dibina oleh Orang Asli di Pos Tohoi didakwa dirobohkan oleh sekumpulan lelaki mewakili pengusaha ladang durian.

Mengulas lanjut, Siti Kassim berkata, apakah hak pembantu peribadi Sivarasa mengeluarkan arahan sedemikian sedangkan pihak lain seperti aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) hanya membiarkan masyarakat Orang Asli di situ membuat keputusan sendiri.

“Dia tu siapa nak arahkan Orang Asli buat itu dan ini? Kami (aktivis) dan NGO pun tidak berani membuat apa-apa arahan kepada mereka, malah memberikan mereka laluan untuk membuat keputusan sendiri,” katanya.

Ketika ditanya harapannya berhubung perkara itu, sama ada berbincang dengan kerajaan negeri atau kementerian, Siti menyelar kementerian yang didakwanya mengabaikan masyarakat itu.

“Kalaulah kementerian benar-benar ambil berat terhadap Orang Asli, ambillah tindakan. Sudah jelas dalam undang-undang, kerajaan persekutuan berhak mengambil tindakan demi keselamatan dan kebajikan mereka.

“Ramai peguam bahkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pun pernah mencadangkan beberapa usul kepada kerajaan, sudah 3 atau 4 tahun rasanya,” katanya.

Beliau berkata, jika Menteri Pembanguan Luar Bandar Rina Harun, serius dengan isu itu, beliau sepatutnya mendapatkan pendapat pegawai khasnya untuk menyemak semula dokumen penting dan perlu diberikan perhatian.

“Orang Asli sudah berani bertindak menggunakan kekerasan, guna senjata dan sebagainya. Ini sesuatu yang luar biasa. Namun, kementerian sendiri tidak berkata apa-apa. Saya berani kata, dia tidak tahu apa-apa tentang Orang Asli,” katanya.

Awal bulan ini kira-kira 200 Orang Asli dari Gua Musang berkumpul di Putrajaya untuk meminta bantuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mewartakan tanah adat mereka, selepas kerajaan Kelantan pimpinan PAS didakwa gagal berbuat demikian.

FMT melaporkan pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Nik Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli selepas pertemuan pada 2013.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri memaksa mereka mendirikan sekatan bagi menghalang syarikat pembalakan dan pekerja ladang durian memasuki kawasan hutan di Gua Musang sejak 18 Februari lalu.

Mereka mengugut akan meneruskan sekatan di daerah itu jika tiada tindakan daripada kerajaan pusat dan negeri.