Unjuran suram ekonomi Najib terburu-buru, kata pakar

Pertumbuhan janaan pembangunan infrastruktur tidak sentiasa baik untuk ekonomi, kata pakar ekonomi Barjoyai Bardai.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mengkritik pandangan suram bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung ekonomi negara sebagai terburu-buru dan berpunca daripada perspektif yang sempit.

Dr Barjoyai Bardai.

Terlalu awal untuk menjangka kesan dasar Pakatan Harapan (PH) ke atas ekonomi, kata Dr Barjoyai Bardai, seorang profesor ekonomi di Universiti Tun Razak.

Bagaimanapun katanya, kerajaan baru itu memang perlu mengetengahkan rancangan ekonomi yang jelas dan dasar yang meyakinkan.

Dalam temu bual dengan FMT baru-baru ini, Najib merujuk kepada semakan menurun Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas unjuran pertumbuhan negara dan mengaitkannya antara lain kepada pembatalan projek infrastruktur yang “sangat diperlukan” dan pembayaran perlahan kepada pembekal kerajaan.

Najib juga bercakap tentang peningkatan kadar eksport, pengaliran keluar modal selepas pilihan raya 9 Mei dan “baki tunai yang banyak” yang ditinggalkan oleh pentadbirannya di BNM, Petronas dan Khazanah Nasional.

Barjoyai mengakui “kebenaran” beberapa kenyataan Najib itu, tetapi menolak andaian bahawa projek mega akan sentiasa mnghasilkan pertumbuhan mapan dan berkata, sesetengah projek itu juga mungkin tidak berdaya maju.

“Itu model suntikan modal di mana projek mega menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya. “Strategi sama pernah digunakan Dr Mahathir bagi menghadapi kemelesetan pada 1990-an dulu. Ia berguna seketika untuk menggerakkan ekonomi, tetapi tidak boleh bertahan.”

Tentang aliran keluar modal, Barjoyai berkata, ia disebabkan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), dan turut memberi kesan ke atas negara lain. “Ekonomi AS kini tumbuh pada kadar 4% setahun dan ini menyebabkan ramai pelabur asing membawa masuk modal ke sana.”

Merujuk kepada baki tunai yang ditinggalkan oleh kerajaan BN dalam beberapa institusi, beliau berkata, ia tidak bermakna terdapat dana yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan semasa.

“Perlu diingat bahawa kita juga membaca laporan tentang sekurang-kurangnya RM35 bilion wang bayaran balik cukai tidak dikembalikan kepada rakyat,” katanya. “Itu jumlah wang yang besar, selain pembayaran balik hutang 1MDB.”

“Selain itu, walaupun BNM, Petronas dan Khazanah dimiliki oleh kerajaan, ia tidak boleh dilihat sebagai ATM Putrajaya. Rizab itu perlu diuruskan oleh mereka sendiri.

Barjoyai berkata, kerajaan perlu merangsang keyakinan pelabur dengan dasar yang jelas dan rancangan ekonomi untuk mengimbangkan pertumbuhan dengan pengagihan, selain mengambil kira tentang kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi.

Ali Salman dari Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi berkata, anggapan bahawa pertumbuhan janaan pembangunan infrastruktur sentiasa baik untuk ekonomi adalah salah, terutamanya jika ia tidak dibuat berdasarkan perkiraan ekonomi yang mantap dan “diselubungi misteri” pula.

“Kita memerlukan dasar ekonomi yang memandang ke depan untuk memberikan mesej kestabilan dan kebolehjangkaan kepada sektor perniagaan,” katanya.