Aksi luar biasa pengamal Taekwando ditonton 21 juta kali

Satu klip video yang memaparkan aksi luar biasa pasukan seni mempertahankan diri dari Korea Selatan, Taekwondo menarik perhatian netizen di media sosial.

Video asal berdurasi hampir 20 minit itu adalah milik Pasukan Demonstrasi Kukkiwon yang dirakam semasa upacara perasmian World Taekwondo Hanmadang pada 28 Julai yang lalu.

Acara yang diadakan secara tahunan sejak 1992, merupakan pertandingan Taekwondo antarabangsa yang menjadi tradisi pengamal Taekwondo.

Lebih 5,000 peserta dari 50 negara menghadiri Kejohanan Taekwondo Hanmadang Dunia Jeju 2018 yang berlangsung dari 28 hingga 31 Julai.

Dalam rakaman asal yang dimuat naik di YouTube, lelaki dan wanita dari Pasukan Demonstrasi Kukkiwon menyampaikan pelbagai aksi mendebarkan seperti poomsae, serangan, pertahanan diri dan gimnastik Taekwondo.

Manakala satu lagi rakaman memuatkan versi ringkas dimuat naik di laman Facebook DramAmazing Korea baru-baru ini yang menjadi viral dengan lebih daripada 21 juta tontonan.

Walaupun netizen memuji pasukan demonstrasi tersebut atas prestasi cemerlang mereka, beberapa pengulas mengkritiknya dengan alasan “tidak praktikal” dalam pertempuran sebenar.

“Ia memang seronok untuk dilihat tetapi tidak berguna dalam pertempuran,” kata seorang netizen.

“Seorang guru Jeet Kune Do atau Aikido tidak akan menyokongnya. Pengamal Taekwando boleh melakukan aksi serangan yang lebih praktikal. Yang ini, memang seronok untuk ditonton tetapi tidak praktikal,” tulis seorang lagi.

Ada juga yang mempersoal tujuan melakukan latihan tersebut sekiranya penyerang mahu melawan gergasi atau mereka sebenarnya pendek dari segi ketinggian sehingga terpaksa melompat-lompat untuk mengena pada sasaran.

Namun, bukan semua orang yang mengkritik percubaan ini, kerana ada netizen tampil menjelaskan, demonstrasi sebegini penting untuk menunjukkan kemahiran luar biasa dari segi pengendalian, ketangkasan dan kecekapan mobiliti.