IPR lebih baik berbanding BR1M bantu wanita, kata Halimey

Halimey Abu Bakar berkata wanita di Selangor juga menerima manfaat lain seperti Skim Hijrah dan kad Peduli Sihat.

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia menganggap insentif yang diberikan kerajaan negeri Selangor jauh lebih baik berbanding BR1M yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN), terutama dalam membantu golongan wanita.

Halimey Abu Bakar berkata bantuan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sahaja berjaya membantu 30% atau lebih 8 ribu wanita di DUN itu yang rata-ratanya kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan daripada kerajaan.

“Selama saya berkempen mereka hanya bercerita tentang IPR.

“Baru tadi pun sama juga, kita pergi ‘walkabout’ di Kelana Jaya, mereka kata yang penting sekali adalah IPR. Bagi mereka BR1M ni tak apa, mereka mahu kelebihan duduk di Selangor.

“Jadi saya sebagai calon, saya lebih tumpukan IPR negeri Selangor khususnya bagi penduduk Seri Setia,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PH DUN Seri Setia, hari ini.

Beliau berkata melalui IPR, wanita di Selangor juga menerima manfaat lain seperti Skim Hijrah dan kad Peduli Sihat yang ramai pemohonnya adalah golongan wanita.

IPR dilaksanakan sejak 2008 selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor daripada BN.

Manakala, BR1M pula dilaksanakan sejak 2012 apabila ia dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun sebelumnya dengan tujuan bagi membantu golongan sasar.

Namun Jumaat lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata pentadbirannya berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.

Sementara itu, Halimey berkata beliau komited untuk membantu penduduk khususnya golongan wanita di DUN Seri Setia mendapatkan insentif yang diberikan kerajaan negeri.

Malah katanya, program untuk meningkatkan pendapatan isi rumah bagi golongan wanita di kawasan itu juga sudah dirangka.

“Ia membabitkan program melatih dalam pembuatan makanan sejuk beku, jahitan, urutan tradisional dan spa kecantikan.

“Program akan dilakukan dengan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, exco wanita Selangor, agensi seperti Kemas dan lain-lain,” katanya.

Halimey akan menentang calon daripada PAS, Dr Halimah Ali pada PRK kali ini.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.