Kementah jamin kepentingan pelabur LTAT dalam AES

Kerajaan memutuskan sistem AES diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan dan JPJ. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan memberi jaminan kepentingan pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang terlibat dalam pelaburan projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) atau Automated Awareness Safety System (AwAS) akan dipelihara.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju mengadakan perbincangan lanjut dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Pengangkutan, Kewangan, Pertahanan dan Jabatan Peguam Negara.

“Ia diadakan bagi membincangkan isu berbangkit susulan keputusan tersebut meliputi aspek perundangan dan implikasi kewangan berdasarkan obligasi kontrak.

“Oleh kerana pencarum-pencarum LTAT adalah daripada kalangan anggota tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan memberi jaminan kepentingan pencarum LTAT akan tetap terpelihara berikutan penamatan kontrak ini.

“Kementerian Pertahanan mengambil maklum polemik di kalangan netizen mengenai kewajaran LTAT terlibat dalam pelaburan projek AES atau AwAS dan saranan agar siasatan terperinci dijalankan,” katanya.

17 Ogos lalu, kerajaan memutuskan perjanjian konsesi AES dan AwAS yang dikendalikan LTAT ditamatkan mengikut tarikh luput kontrak.

Bermula 1 September depan, pengoperasian, pembangunan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan Sistem AES atau AwAS akan diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada Januari 2015, kerajaan terdahulu bersetuju untuk LTAT mengambil alih projek AES atau AwAS daripada Syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. Konsesi yang diuruskan oleh LTAT ini berkuatkuasa bermula pada 14 Januari 2015 sehingga 31 Ogos 2018.