Keputusan kes Rafizi fitnah Tabung Haji 25 September

Nik Zarith Nik Moustapha yang mewakili Rafizi Ramli mengakui wujud salah faham antara pasukannya dan pihak pendakwaan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret menetapkan 25 September ini untuk keputusan kes saman fitnah Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap Rafizi Ramli, 2 tahun lalu.

Majistret Umzarul An Nur Umar membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli memohon diberikan masa untuk menjawab hujah pihak pembelaan.

Peguam, Nik Zarith Nik Moustapha yang mewakili Rafizi mengakui wujud salah faham antara pasukannya dan pihak pendakwaan.

“Untuk makluman, pihak pendakwaan baru diserahkan salinan hujahan kes dari pihak pembelaan hari ini. Memandangkan masa terhad, pihak pendakwaan meminta mahkamah memberikan masa untuk jawab pihak pembelaan,” kata Nadia.

Pada 27 Jun lalu, Rafizi melalui peguamnya memaklumkan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengkaji semula pertuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap TH dan menimbangkan penarikan balik pertuduhan itu.

Rafizi didakwa atas pertuduhan pindaan fitnah jenayah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, tahun lepas. Tuduhan itu dipinda selepas beliau mengadu ianya tidak jelas.

Dalam pertuduhan pindaan itu, Rafizi dituduh mendakwa rizab TH mengalami defisit selama 2 tahun berturut-turut menyebabkan TH tidak mampu membayar semula pendeposit, jika mereka semua mahu mengeluarkan simpanan serentak.

Beliau kemudian mendakwa keuntungan RM3.53 bilion diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak mengambil kira kerugian akibat kejatuhan saham dan bon sekuriti TH dalam pelaburannya.

Satu lagi maklumat dalam pertuduhan itu berkaitan dakwaan Rafizi yang TH membayar bonus melebihi pendapatannya pada 2012 dan 2014.

Rafizi sebelum ini mendakwa bonus lebihan 2012 itu diberikan sempena pilihan raya umum yang semakin hampir, sementara pembayaran pada 2014 disebabkan pihak berkuasa perlu meyakinkan orang ramai yang isu 1MDB tidak menjejaskan pasaran kewangan tempatan.

Menurut pertuduhan itu, Rafizi didakwa melakukan kesalahan itu di bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak pada 18 Februari 2016.

Sebelum ini, Rafizi didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, tetapi dibebaskan daripada tuduhan memiliki dokumen itu yang diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi.

Pada 1 Jun lalu, mahkamah membebaskan beliau dengan bon tingkah laku baik RM10,000 selama 2 tahun.